Bertrand, Nur Shazrin pembawa Jalur Gemilang di Olimpik Paris 2024

Bertrand (kiri) dan Nur Shazrin diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang dalam upacara perasmian Sukan Olimpik 2024 di Paris bulan ini. - Foto FB OCM.
Bertrand (kiri) dan Nur Shazrin diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang dalam upacara perasmian Sukan Olimpik 2024 di Paris bulan ini. - Foto FB OCM.
A
A
A

PENERJUN negara, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif diberi penghormatan sebagai pembawa bendera Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan kedua-dua atlet itu berdasarkan penampilan sulung dan berpengalaman beraksi pada temasya terbesar dunia tersebut.

“Selepas meneliti atlet yang disenarai pendek dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jadual pertandingan, Lembaga Eksekutif telah memilih Bertrand dan Nur Shazrin untuk membawa Jalur Gemilang semasa perbarisan atlet.

“Walaupun Bertrand dipilih berdasarkan penampilan sulung, Nur Shazrin adalah atlet berpengalaman yang akan membuat penampilan ketiganya. Dalam meraikan masa depan, kami menerima masa kini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Bertrand, atlet kelahiran Sarawak akan membuat debut penampilan sulung di temasya itu selepas menjadi atlet Malaysia pertama yang layak secara merit ke Paris pada Julai 2023.

Dia merupakan rakyat Sarawak keempat yang diberi penghormatan selepas Kuda Ditta (Olahraga) di Rome 1960, Bryan Nickson Lomas (Akuatik-Terjun) di Athens 2004 dan Datuk Pandelela Rinong (Akuatik–Terjun) di London pada edisi 2012.

Bertrand memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama lelaki pada Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu.

Pelayar kelahiran Johor, Nur Shazrin pula membuat penampilan ketiganya selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

Nur Shazrin yang memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, merupakan pelayar pertama dianugerahkan penghormatan membawa bendera semasa majlis perasmian.

Upacara perasmian dijadual diadakan di Sungai Seine dengan bot membawa para atlet bagi setiap delegasi negara.

Perarakan itu akan sampai ke penghujung laluannya sejauh enam kilometer di hadapan Trocadero, di mana unsur-unsur protokol Olimpik dan pertunjukan bakal berlangsung.

Kontinjen Malaysia setakat 1 Julai bakal dibarisi 25 atlet daripada lapan jenis sukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!