Menteri Israel gesa tembak kepala tahanan
BAITULMAQDIS - Menteri Hal Ehwal Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir membuat kenyataan 'kurang ajar' dengan menggesa hukuman mati terhadap tahanan Palestin dengan menembak di kepala mereka.
Menteri ekstremis itu berkata dalam klip video bahawa tahanan Palestin harus dibunuh dengan ditembak di kepala.
Pada masa sama, beliau menggesa undang-undang berhubung hukuman mati terhadap tahanan diluluskan di Knesset Israel untuk bacaan ketiga dan berjanji menyediakan sedikit makanan bagi memastikan mereka hidup sehingga undang-undang itu digubal.
Pada awal Mac 2023, Perhimpunan Agung Knesset Israel meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) dalam bacaan awal mengenai hukuman mati terhadap tahanan Palestin.
RUU itu memerlukan dua lagi kelulusan Knesset untuk menjadikan ia dapat dilaksanakan dengan menjatuhkan hukuman mati terhadap sesiapa yang melakukan pembunuhan bermotifkan perkauman dan mengancam 'Negara Israel'.
Ketua Kelab Banduan, Abdullah Al-Zaghari mengesahkan kenyataan dibuat Ben Gvir yang mewakili satu sistem membenarkan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin.
Tambahnya, kenyataan menteri ekstremis itu melangkaui peringkat ancaman kerana pentadbiran penjara di Israel sebenarnya sudah melakukan pembunuhan dan hukuman mati terhadap tahanan Palestin sejak permulaan perang pembunuhan beramai-ramai yang berterusan.
Sejak tahun 1967, jumlah kematian tahanan di penjara Israel telah mencecah 224 orang termasuk 18 kematian terbaharu sejak pencerobohan bermula serta samping puluhan tahanan Gaza yang nama dan cara kematian mereka tidak didedahkan oleh pihak berkuasa Israel.
Tentera Israel telah menangkap lebih 9,450 penduduk Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis dan ribuan lagi sejak konflik Hamas tercetus pada 7 Oktober lalu.
Pada masa sama, rejim zionis turut menyeksa tahanan dan perkara itu didedahkan dalam puluhan testimoni oleh institusi berkaitan sebagai tambahan kepada pelakukan jenayah kejam tersebut.
Seksaan seperti tidak memberikan makanan, pengabaian perubatan. mental dan bermacam-macam lagi - Agensi
Fakta nombor
242 laporan kes kematian dalam penjara Israel
9,450 penduduk Palestin ditangkap
38,000 penduduk Palestin maut
2.4 juta diancam kebuluran
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!