Cukuplah netizen, doakan keadilan buat Zayn Rayyan

Beberapa gambar dipercayai kecederaan yang berlaku pada mayat Allahyarham Zayn Rayyan muncul di media sosial.
Beberapa gambar dipercayai kecederaan yang berlaku pada mayat Allahyarham Zayn Rayyan muncul di media sosial.
A
A
A

BARU sahaja beberapa minggu lepas kita dikejutkan dengan penyebaran kertas siasatan kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matiin di aplikasi Telegram, tiba-tiba muncul pula beberapa gambar dipercayai kecederaan yang berlaku pada mayat kanak-kanak autisme itu.

Media sosial juga hampir ‘meletup’ dengan pelbagai bentuk perkongsian netizen berkaitan pendedahan berkenaan sehingga timbul spekulasi juga tohmahan yang datang daripada perasaan marah meluap-luap kepada pelaku durjana.

Pihak polis sudah berkali-kali mengingatkan orang awam agar tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi ini kerana bimbang boleh mengganggu siasatan dan proses pendakwaan di mahkamah.

Namun masih ramai yang berdegil semata-mata hendak buktikan merekalah yang ‘terpaling awal dapat maklumat’ dan ‘terpaling hero’.

Pernahkah kita terfikir, dengan tersebarnya informasi dalaman ini, apakah rakyat Malaysia dapat jawapan kepada persoalan - siapa pembunuh Zayn? Sudah tentu tidak, malah tiada siapa pun yang dapat mengesahkan hal ini. Apa yang berlaku dalam kalangan kita kini adalah tafsiran demi tafsiran berdasarkan bukti tersebar yang kemudiannya membawa kepada tuduhan tidak berasas.

Jadi cukup-cukuplah netizen, pertuduhan sudah dibuat terhadap kedua-dua ibu bapa anak malang itu.

Pada 13 Jun lalu, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari yang kedua-duanya berumur 29 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal, pada Disember tahun lepas. Mereka mengaku tidak bersalah dan sebutan semula kes akan dilakukan pada 26 Julai ini.

Janganlah kita persoalkan apa-apa lagi dan beri ruang kepada pihak mahkamah, peguam tertuduh dan pendakwa raya melakukan tugas seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan menyebarkan informasi tidak tepat dan sengaja membuat kandungan berunsur tuduhan di media sosial semata-mata untuk menarik simpati juga emosi rakyat hanya memburukkan keadaan sedia ada.

Fikirkan juga perasaan sebahagian besar rakyat Malaysia yang amat menyayangi Zayn Rayyan seperti anak mereka sendiri dan mahu keadilan untuk anak syurga itu ditegakkan.

Justeru, percayalah dengan bidang kuasa mahkamah yang mulia dan berdoa agar perbicaraan kes ini berjalan lancar dan sempurna.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!