MFL umpama gali kubur sendiri

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) nampaknya sudah tersilap langkah apabila mengenakan hukuman yang dianggap keterlaluan terhadap Selangor FC.

Ini selepas pasukan itu tidak hadir aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada 10 Mei lepas.

Pada ketika Liga Malaysia berada dalam keadaan kritikal dengan masalah tunggakan gaji, kurangnya minat untuk menyaksikan liga dalam kalangan peminat, ditambah dengan kemelut ini menjadikan situasi semasa liga semakin parah.

Kepercayaan peminat terhadap MFL juga terhakis sedikit demi sedikit dengan rata-rata mereka menyatakan rasa menyampah dengan badan pengelola tertinggi liga itu.

Ramai yang tidak setuju dengan keputusan yang dibuat MFL, mengambil kira kronologi situasi Selangor FC terlebih dahulu telah meminta penangguhan selepas pemain sayapnya, Faisal Halim disimbah asid serta beberapa pihak pengurusan pasukan itu diancam ugutan lima hari sebelum perlawanan berlangsung.

Keadaan mungkin tidak akan menjadi lebih parah sekiranya MFL terlebih dahulu menunjukkan simpati dengan menerima permohonan Selangor FC tersebut yang mempunyai asas alasan cukup kuat kerana faktor keselamatan. Skuad Gergasi Merah itu juga bukan meminta membatalkan perlawanan, tapi cukup sekadar menangguhkan ke tarikh lain yang lebih sesuai.

Namun, ia tidak berlaku dan akhirnya hukuman sebelum ‘diskaun’ yang dikenakan pada minggu lalu termasuk denda RM100,000, pemotongan tiga mata dan bermain dalam stadium kosong mengejutkan peminat bola sepak negara.

Peminat tidak menunggu lama untuk ‘menghukum’ MFL apabila badan pengelola liga itu menerima serangan bertubi-tubi daripada peminat yang menyifatkan hukuman tersebut sebagai melampau.

Artikel Berkaitan:

Lebih memburukkan keadaan apabila ia juga mendapat perhatian Sultan Selangor yang juga penaung Selangor FC, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang amat murka dengan MFL.

Susulan titah murka itu, MFL membuat u-turn dengan mengurangkan hukuman denda dan membatalkan dua hukuman lain yang sedikit sebanyak mengendurkan ketegangan.

Namun, bak kata pepatah orang putih, ‘the damage is done’ menunjukkan betapa besarnya masalah dicetuskan MFL sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia turut terpalit kemelut yang bukan hanya melibatkan pasukan Selangor dan peminat bola sepak, tetapi pihak istana.

Menguruskan sebuah organisasi yang melibatkan ramai pemegang taruh untuk sukan paling popular di Malaysia sememangnya satu cabaran besar buat MFL.

Jika sebelum ini, mungkin isu dihadapi oleh MFL melibatkan ruang lingkup kecil seperti masalah pasukan yang degil melunaskan tunggakan gaji, namun kali ini apa yang mereka hadapi merupakan satu ‘taufan besar’. Silapnya mungkin kerana Selangor tidak dipanggil terlebih dahulu untuk membela diri di hadapan lembaga disiplin selepas insiden ketidakhadiran tersebut, disusuli keputusan terburu-buru MFL.

Malah, badan pengelola liga itu juga seharusnya menghadap dan memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin yang murka dengan hukuman tersebut, namun hanya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang memohon menghadap Tuanku Sultan.

Apa jua alasan yang telah diberikan MFL, walaupun selepas meringankan hukuman kepada Selangor FC ketika ini hanya akan menjadi bahan cemuhan peminat bola sepak negara dan juga menjadi masalah besar untuk mereka cuba memulihkan keadaan.

MFL perlu hadir dengan penyelesaian terbaik memulihkan integriti mereka untuk memastikan semuanya kembali normal terutama dengan pasukan terlibat dan peminat bola sepak negara.

Jika tidak diuruskan dengan baik, MFL bakal ‘menggali kubur’ mereka lebih dalam dan kesudahannya bola sepak dan Liga Malaysia itu sendiri menanggung akibatnya.

* Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!