Usaha YB Muar patut buka mata pemimpin muda lain
SECARA peribadi, Merak Jalanan kagum dengan semangat dan aspirasi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tekad melakukan larian diberi nama ‘Langkah Muar’ dari Muar ke Parlimen bermula Jumaat minggu lepas.
Beliau berjaya menamatkan larian sejauh 200 kilometer (km) itu semalam dan selamat sampai ke Parlimen lebih kurang jam 9.30 pagi.
Selain tanda protes terhadap peruntukan pembangkang, Syed Saddiq juga mengambil peluang mengumpul dana dengan sasaran sebanyak RM100,000 melalui larian itu.
Bagaimanapun, amat mengejutkan apabila jumlah pungutan selepas larian tamat mencecah RM160,000 hasil sumbangan lebih 2,000 rakyat Malaysia, jauh melebihi apa yang beliau jangka.
Teruja juga Merak Jalanan mendengar pengalaman pahit manis yang dilalui Syed Saddiq. Antaranya, menurut penulis buku Jalan Tegak itu, ramai yang sanggup menunggu di tepi jalan dan memberi sumbangan walaupun sekecil RM1.
Untuk menampakkan usahanya juga telus, Syed Saddiq bersiaran secara langsung menerusi laman sosial beliau untuk ditonton seluruh rakyat Malaysia.
Walaupun menerima banyak komen negatif daripada netizen, namun Merak Jalanan memuji ketegasan pemimpin muda itu kerana menunaikan apa yang beliau janji dan bersungguh-sungguh mempamerkan komitmen demi kebaikan rakyat.
Dana yang mahu dikumpul itu disasarkan untuk membiayai pembukaan pusat khidmat rakyat Parlimen Muar dan gaji staf, selain membeli bakul makanan dan tablet juga komputer riba.
Jarang Merak Jalanan lihat semangat juang seperti ini dalam diri pemimpin muda hari ini. Kalau ada pun, kebanyakannya ‘bising’ di Parlimen, tetapi tidak nampak apa yang dilakukan demi kemaslahatan penduduk kawasan sendiri.
Semoga usaha Syed Saddiq ini menjadi pembuka mata dan isyarat kepada pemimpin lain agar berusaha untuk mendapatkan keadilan rakyat melalui cara bermanfaat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!