Lata Ulu Chepor wajib dikunjungi di Ipoh

Lokasi perkelahan alam semula jadi dalam bandar

Keindahan dan kejernihan air sungai Lata Ulu Chepor pastinya menggamit pengunjung yang hadir di kawasan perkelahan tersebut. (Gambar kecil: Aisah)
Keindahan dan kejernihan air sungai Lata Ulu Chepor pastinya menggamit pengunjung yang hadir di kawasan perkelahan tersebut. (Gambar kecil: Aisah)
A
A
A

IPOH - Jika berkunjung ke bandar raya Ipoh, selain tempat-tempat warisan dan gastronomi yang menjadi tumpuan, kawasan rekreasi atau pusat perkelahan turut menjadi antara pilihan pelancong.

Lata Ulu Chepor yang dibuka sejak hampir 40 tahun yang lalu, antara kawasan perkelahan menjadi pilihan buat pelancong yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi di dalam bandar.

Terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat bandar raya Ipoh dan 5km dari Meru Raya, kejernihan sungai yang mengalir di kawasan tersebut pastinya meninggalkan kenangan buat pengunjung.

Disifatkan sebagai kawasan perkelahan di dalam bandar, pengunjung pastinya akan meletakkan Lata Ulu Chepor di dalam senarai tempat yang wajib dikunjungi apabila tiba di bandar raya Ipoh.

WAJAH BAHARU SELEPAS PANDEMIK

Diuruskan oleh Koperasi Penduduk Ulu Chepor Berhad, kawasan ini mendapat suntikan baharu selepas ditutup kira-kira dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Menurut Setiausaha Koperasi berkenaan, Aisah Talib, pada asalnya, pengurusan kawasan perkelahan itu dikendalikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), namun selepas pandemik urusan tersebut tidak diteruskan seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Informasi mengenai Geotapak Granit tersebut turut disediakan di kawasan Lata Ulu Chepor berkenaan sebagai tarikan kepada pengunjung.
Informasi mengenai Geotapak Granit tersebut turut disediakan di kawasan Lata Ulu Chepor berkenaan sebagai tarikan kepada pengunjung.

Jelasnya, pihak koperasi hanya mengendalikan beberapa chalet di kawasan berkenaan.

Disebabkan terlalu lama ditutup, pihak koperasi bertemu dengan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta supaya mencari jalan agar Lata Ulu Chepor dibuka semula kepada orang ramai.

“Melalui pertemuan itu, pihak koperasi dibenarkan menguruskan keseluruhan kawasan perkelahan itu sehingga kini.

“Sejak dari itu, pelbagai pembaharuan kita telah buat terutama berkaitan pengurusan sampah, penginapan serta pondok istirahat untuk pengunjung,” katanya.

Selain itu, aspek keselamatan menjadi keutamaan mereka terutama apabila waktu hujan kerana dibimbangi berlaku kejadian kepala air.

GEOTAPAK GEOPARK LEMBAH KINTA

Lata Ulu Chepor merupakan salah satu daripada 19 geotapak yang mendapat pengiktirafan tersebut dengan dikenali sebagai geotapak granit.

Berdasarkan maklumat yang tertera kepada pengunjung, batuan yang wujud di kawasan tersebut telah wujud sejak 200 juta tahun yang lalu.

Proses-proses geologi dapat dilihat melalui kewujudan lata yang bertingkat-tingkat di geotapak berkenaan iaitu hasil retakan dan kesan tindakan hakisan oleh air pada batuan granit Banjaran Kledang.

Informasi mengenai geotapak granit tersebut turut disediakan di kawasan Lata Ulu Chepor berkenaan sebagai tarikan kepada pengunjung.

Di samping itu juga, di penghujung laluan di sini, orang ramai yang berminat dengan aktiviti pendakian boleh mendaki Gunung Peninjau bagi melihat panorama indah dari tanah tinggi di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, ia memerlukan permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak memandangkan kawasan tersebut merupakan Hutan Simpan Kekal Kledang Saiong.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!