AUG 2024: Misi 35 pingat emas di landasan tepat

Suhairi
Suhairi
A
A
A

KONTINJEN negara berada di landasan terbaik merealisasikan sasaran 35 emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya Malang 2024 selepas mengharungi hari keenam dengan keseluruhan kutipan 14 pingat tersebut pada Isnin.

Itu keyakinan ketua kontinjen negara ke AUG Surabaya Malang 2024, Suhairi Ismail selepas menyaksikan momentum positif diperagakan barisan atlet Malaysia dalam pemburuan pingat emas pada temasya dwi tahunan tersebut.

“Alhamdulillah, setakat untuk fasa awal ini kutipan pingat emas masih dalam jangkaan untuk mencapai sasaran.

“Ini kerana pada fasa seterusnya kita menyasarkan pingat dalam acara olahraga, memanah dan acara sukan tempur.

“Malah acara renang yang mencapai sasaran biarpun berakhir hari ini (Isnin) menambah kilauan pingat. Biarpun begitu kejutan pada hari kelima datangnya dari kem bola baling yang menghadiahkan emas untuk kontinjen negara," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sebagai rekod, kontinjen negara melabuhkan hari keenam saingan AUG 2024 dengan satu emas, dua perak dan enam gangsa untuk pungutan pingat keseluruhan 14 emas, 17 perak dan 28 gangsa.

Mengenai lapan pemain futsal negara yang mengalami keracunan makanan yang menjejaskan momentum pemburuan pingat emas ketika berdepan Indonesia pada Ahad, Suhairi berkata, pasukan perubatan kontinjen telah bertungkus lumus memastikan atlet dalam keadaan terbaik dan tahap kesihatan optimum sebelum bertanding.

“Atlet-atlet juga sentiasa dipantau dan selalu diingatkan untuk menjaga pemakanan sepanjang berlangsung temasya ini.

Artikel Berkaitan:

“Biarpun begitu kita tidak dapat mengelakkan perkara-perkara luar jangka yang berlalu, namun setakat ini pasukan perubatan kontinjen berjaya menangani dengan baik segala masalah yang melibatkan atlet kita,” katanya.

Pada Ahad, skuad futsal kendalian Addy Shairullyzam Mohd Shafiee beraksi dalam keadaan tempang selepas lapan pemainnya mengalami keracunan makanan sebelum berdepan Indonesia dalam perlawanan akhir di Gelora Olahraga Rakyat (GOR) Futsal Universitas Negeri Surabaya (UNESA).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!