Air mata Ronaldo bawa Portugal ke suku akhir Euro

Kesedihan Cristiano Ronaldo bertukar menjadi kegembiraan apabila dia menyempurnakan sepakan penalti penentuan ketika membantu Portugal mara ke suku akhir Euro 2024, awal pagi tadi.
Kesedihan Cristiano Ronaldo bertukar menjadi kegembiraan apabila dia menyempurnakan sepakan penalti penentuan ketika membantu Portugal mara ke suku akhir Euro 2024, awal pagi tadi.
A
A
A

KESEDIHAN Cristiano Ronaldo bertukar menjadi kegembiraan apabila dia menyempurnakan sepakan penalti penentuan ketika membantu Portugal mara ke suku akhir Euro 2024, awal pagi tadi.

Kejayaan dramatik itu diraih setelah Portugal membenam cabaran Slovenia 3-0 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi kalah mati di Arena Frankfurt.

Penyerang berusia 39 tahun itu berpeluang meletakkan Portugal di depan selepas dihadiahkan penalti pada separuh masa pertama masa tambahan selepas Diogo Jota dikasari.

Sepakan penalti kapten Portugal itu bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol Slovenia, Jan Oblak.

Selepas menyempurnakan 29 penalti sebelum ini, Ronaldo kelihatan terkejut melihat Oblak menyelamatkan sepakannya sambil memegang kepalanya.

Beberapa detik kemudian, aksi separuh masa pertama tambahan ditamatkan dan Ronaldo dilihat menangis ketika dikelilingi rakan sepasukan.

Dia kemudian ditenangkan oleh rakan sepasukan, Joao Palhinha sambil Ronaldo mengesat air matanya sebelum kembali ke padang bagi memulakan aksi babak kedua masa tambahan.

Penyokong Portugal turut menyanyikan 'Viva Ronaldo' selepas reaksi pemain itu ditunjukkan di skrin besar di Arena Frankfurt.

Artikel Berkaitan:

Bekas bintang Manchester United itu menebus kegagalannya apabila berjaya menyempurnakan penalti penentuan pertama untuk meletakkan Portugal di landasan kemenangan.

Penjaga gol Portugal, Diogo Costa menafikan tiga sepakan penalti Slovenia untuk membawa pasukan itu menempah pertemuan dengan Perancis dalam saingan suku akhir.

"Pada awalnya ia adalah kesedihan dan kemudian kegembiraan, itulah yang bola sepak berikan kepada anda, detik yang tidak dapat dijelaskan, sedikit segalanya," kata Ronaldo.

Bekas pemain Real Madrid itu juga mengakui tidak pernah membuat sebarang kesilapan pada tahun ini, namun apabila dia sangat memerlukannya, Oblak menyelamatkannya.

"Slovenia menghabiskan keseluruhan permainan bertahan dan apabila ia berlaku, semuanya menjadi sukar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!