Perancis belum cukup tajam - Deschamps
JURULATIH Perancis, Didier Deschamps tetap gembira dengan aksi pemainnya biarpun memerlukan gol lewat untuk menewaskan Belgium 1-0 dalam saingan kalah mati untuk berada dalam kelompok lapan terbaik Euro 2024 di Duesseldorf pada Selasa.
Hanya pada minit ke-85, Perancis memecah kebuntuan menerusi percubaan pemain gantian, Randal Kolo Muani yang ditampan masuk pemain pertahanan, Jan Vertonghen ke dalam golnya sendiri.
Meskipun mendominasi perlawanan, tetapi jurulatih berusia 55 tahun itu mahu melihat lebih banyak percubaan tepat ke gawang gol lawan pada perlawanan menentang Portugal dalam aksi suku akhir.
Ia susulan Perancis masih belum menyumbat gol daripada permainan terbuka di Euro, dengan satu penalti dan dua gol sendiri.
"Kami berupaya menguasai permainan dan memegang bola dengan lebih lama. Ini sesuatu yang saya seronok malam ini (Selasa).
"Tetapi anda tidak boleh memenangi perlawanan hanya dengan menguasai bola, lebih baik memegang bola dan menyerang serta membuatkan mereka bertahan. Namun jumlah percubaan yang kami lakukan, ia mungkin satu-satunya perkara yang akan saya perbetulkan.
"Saya fikir di tengah padang ada intensiti tinggi, malah jika hari ini (Selasa) gol itu cukup untuk membawa kami ke suku akhir, kami sering mempunyai keupayaan dan kapasiti untuk menjaringkan lebih lagi," ujar Deschamps.
Perancis hadir ke Jerman sebagai satu daripada pasukan pilihan untuk menjuarai Euro dan di sebalik hakikat mereka gagal memukau setakat ini, Deschamps tidak mahu sesiapa melupakan fakta mereka masih belum tersingkir.
Menyentuh mengenai aksi tersebut, Deschamps melihat prestasi anak buahnya banyak meningkat.
Beliau melihat Belgium agak berhati-hati biarpun di atas kertas lawan merupakan pasukan yang kuat menyerang.
"Mereka mungkin agak bertahan berbeza dengan apa yang kita sering lihat. Kami pula melakukan segala-galanya untuk cuba menyerang, menjaringkan gol dan mencipta peluang serta menunggu saat tiba untuk menghasilkan gol," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!