Banjir Sabah: Enam sekolah masih ditutup
KOTA KINABALU - Hanya enam sekolah di Penampang dan Tuaran masih ditutup akibat banjir yang melanda di dua daerah di negeri ini.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, enam sekolah yang ditutup melibatkan seramai 2,659 murid dan pelajar serta 194 guru.
"Sekolah yang masih ditutup melibatkan Sekolah Menengah (SM) Saint (St) Michael, Sekolah Kebangsaan (SK) St Theresa Inobong dan SK Kibabaig di Penampang.
"Selain itu, SK Kauluan, SK Bawang dan SK Lingga Baru di Tuaran juga tidak beroperasi hari ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, semua sekolah tersebut masih dalam proses pembersihan menyebabkan ia tidak dapat beroperasi lagi susulan bencana banjir yang berlaku sejak Ahad.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan sebanyak 10 sekolah dari empat daerah iaitu Penampang, Tuaran, Sipitang dan Papar terpaksa ditutup akibat dilanda banjir.
Sementara itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan mengajar belia di negeri ini turut serta membantu membersihkan SK St Theresa yang terjejas teruk akibat banjir.
Dalam poster yang dikongsikan di laman Facebook beliau gotong royong dijadualkan bermula jam 9 pagi Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!