PRK Nenggiri: UMNO Gua Musang mahu Mohd Azizi segera berkempen

UMNO Bahagian Gua Musang mahu Mohd Azizi segera melakukan kerja-kerja berkempen bagi membantu BN merampas semula kerusi tersebut pada PRK 17 Ogos ini. (Kanan: Mohd Syahbuddin)
UMNO Bahagian Gua Musang mahu Mohd Azizi segera melakukan kerja-kerja berkempen bagi membantu BN merampas semula kerusi tersebut pada PRK 17 Ogos ini. (Kanan: Mohd Syahbuddin)
A
A
A

GUA MUSANG - UMNO Bahagian Gua Musang mahu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim segera melakukan kerja-kerja berkempen bagi membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, tindakan itu selepas Mohd Azizi menyatakan kesediaan berbuat demikian semasa mengumumkan beliau tidak akan bertanding pada PRK nanti.

"Kita ucap terima kasih, jadi beliau sudah boleh mula bekerja dari sekarang.

"Kerja itu boleh dilakukan kerana beliau masih lagi menggalas jawatan sebagai Ahli Parlimen Gua Musang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, Mohd Azizi boleh memainkan peranan membantu kerja-kerja kempen BN khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jeram Tekoh dan Limau Kasturi.

Ujarnya, Mohd Azizi dilihat cukup dikenali oleh masyarakat di kawasan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Ketua Penerangan UMNO Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli antara yang dikatakan akan diangkat sebagai calon BN pada PRK Nenggiri.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada Bersatu pada 13 Jun lepas.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!