OCSEA: Tangani segera, elak mudarat

Eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian mengakibatkan kesan trauma dan kecelaruan emosi kepada mangsa. - Gambar Hiasan (123rf)
Eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian mengakibatkan kesan trauma dan kecelaruan emosi kepada mangsa. - Gambar Hiasan (123rf)
A
A
A

Kerajaan digesa wujudkan kawal selia dalam talian, media sosial



Eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian (OCSEA) sering kali dirujuk kepada aktiviti seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak di bawah umur 17 tahun melibatkan penggunaan teknologi digital sama ada dalam bentuk internet dan komunikasi.

Kebiasaannya, OCSEA berlaku dalam bentuk pengeluaran, pemilikan atau perkongsian Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM), penstriman langsung dan pengantunan (grooming) dengan niat penderaan seksual atau mengeksploitasi mangsa kanak-kanak.

Berdasarkan statistik yang dilaporkan daripada Childight Global Child Safety Institute, Edinburgh University pada tahun 2022, lebih daripada 300 juta kanak-kanak menjadi mangsa OCSEA di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu, satu daripada lapan kanak-kanak menjadi mangsa pengambilan, perkongsian dan pendedahan gambar serta video seksual tanpa persetujuan pada tahun 2023.

Di peringkat global, kes OCSEA dianggap sebagai ancaman yang besar kepada kanak-kanak sekali gus menimbulkan permasalahan kepada psikologi dan kesihatan mental golongan itu dalam jangka masa panjang.

OCSEA DAN JENAYAH

Kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi penderaan seksual online boleh memberi kesan psikologi seperti kebimbangan, kemurungan, ketakutan dan ketidakstabilan emosi. - Gambar Hiasan (123rf)
Kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi penderaan seksual online boleh memberi kesan psikologi seperti kebimbangan, kemurungan, ketakutan dan ketidakstabilan emosi. - Gambar Hiasan (123rf)



Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC), Siti Kamisah Hassan, kes jenayah rogol membabitkan gadis bawah umur menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun lalu dan kebanyakannya bermula daripada termasuk aplikasi sembang seperti WhatsApp.

Artikel Berkaitan:


Dalam laporan yang dipetik daripada agensi berita BERNAMA, beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,590 kes rogol bawah umur direkodkan sepanjang tahun 2023, iaitu peningkatan berbanding tahun 2022 sebanyak 1,388 kes dan 1,299 pada 2021.

Mengikut siasatan yang dilakukan, kebanyakan daripada mangsa bawah umur memaklumkan mereka mengenali pelaku menerusi laman sosial.

ANCAMAN DAN KEPERLUAN TANGANI OCSEA

Berdasarkan laporan Distrupting Harm in Malaysia yang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2022, sekurang-kurangnya empat peratus atau kira-kira 100,000 kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun yang menggunakan internet telah mengalami pelbagai bentuk OCSEA

Kebiasaannya, kes OCSEA bermula dengan pengantunan yang mungkin berlaku semasa dalam talian atau di luar talian (offline).

DR HARTINI
DR HARTINI



Memahami keperluan menangani OCSEA, Aktivis Kanak-Kanak, Datuk Dr Hartini Zainudin mahu pihak berkuasa mengambil pendekatan lebih tegas dalam menangani kes-kes OCSEA khususnya melibatkan aktiviti perkongsian CSAM, penstriman langsung dan pengantunan dalam talian.

Pendekatan tegas itu antara lain katanya melibatkan pelaksanaan serta penguatkuasaan garis panduan yang lebih ketat terhadap syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan dalam talian termasuklah platform media sosial.

“Sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan garis panduan kawal selia yang memerlukan syarikat-syarikat teknologi (pengendali perkhidmatan dalam talian dan platform media sosial) lebih bertanggungjawab, proaktif memantau dan menyekat bahan-bahan atau aktiviti yang menjurus kepada OCSEA,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Hartini yang juga Pengasas Yayasan Chow Kit (YCK) itu menggesa supaya garis panduan kawal selia turut meletakkan tanggungjawab kepada syarikat-syarikat berkenaan untuk melaporkan sebarang kandungan OCSEA kepada agensiagensi penguatkuasa seperti PDRM, MCMC dan sebagainya.

“Dalam talian, banyak kandungan yang ada kalanya amat membimbangkan seperti buli siber, penipuan (scam), perjudian dan pengucapan kebencian.

“Saya percaya amat sukar untuk mengawal kandungankandungan seumpama ini daripada terdedah kepada pengguna kanak-kanak dalam talian. Justeru, dalam menangani masalah ini, kerajaan perlu ada ketegasan,” ujarnya.

KESAN PSIKOLOGI

DR NELLIE
DR NELLIE



Pandangan yang sama turut disokong Pakar Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail yang mana pengawalan CSAM perlu diambil serius kerana memberi kesan kesihatan mental kepada pengguna kanak-kanak.

Membawa perubahan sikap dan tingkah laku seperti mengasingkan diri dan agresif, mangsa juga berisiko boleh bertindak keterlaluan seperti penyalahgunaan bahan-bahan berbahaya atau mencederakan diri sendiri.

“Kanak-kanak yang menjadi mangsa berkemungkinan akan mengalami kebimbangan, kemurungan, ketakutan dan ketidakstabilan emosi.

“Mereka juga mungkin mengalami kecelaruan stres pasca-trauma (PTSD) atau menunjukkan simptom yang serupa dengan mangsa trauma lain,” jelasnya.

Pada masa sama, Dr Nellie berharap selain garis panduan dan kawal selia, pihak berwajib dapat mempergiatkan kempen pendidikan untuk memberi maklumat kepada pengguna, terutamanya kanak-kanak dan ibu bapa mengenai bahaya OCSEA dan amalan dalam talian yang selamat.

M HAFIZ
M HAFIZ



Sementara itu, peguam, M Hafiz Zainul Abidin berkata, usaha itu boleh diperkukuhkan lagi dengan menyediakan mekanisme yang mudah bagi membolehkan pengguna dalam talian melaporkan aktiviti atau kandungan yang mencurigakan.

“Ini termasuk talian bantuan, borang dalam talian dan alat pelaporan khusus dalam aplikasi dan platform,” ujarnya supaya kes OCSEA dapat ditangani selari dengan Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).