Johor gerak Ops Longkang dan Parit atasi banjir kilat

Onn Hafiz pada sesi libat urus Ops Longkang dan Parit di Johor Bahru. Foto FB Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz pada sesi libat urus Ops Longkang dan Parit di Johor Bahru. Foto FB Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menggerakkan Ops Longkang dan Parit secara besar-besaran bagi menyelenggara dan membersihkan semua longkang serta parit di negeri ini bermula di daerah Johor Bahru.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah tersebut diambil susulan banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar kebiasaannya berpunca daripada longkang, sistem perparitan dan saliran yang tidak diselenggara dengan baik.

"Perkara ini dibincangkan semasa perjumpaan bersama semua agensi terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah, serta syarikat-syarikat konsesi.

"Mereka akan berjumpa dengan saya setiap bulan bagi melaporkan perkembangan," katanya pada Selasa.

Ops Longkang dan Parit digerakkan secara besar-besaran bagi menyelenggara dan membersihkan semua longkang serta parit di Johor. Foto FB Onn Hafiz Ghazi
Ops Longkang dan Parit digerakkan secara besar-besaran bagi menyelenggara dan membersihkan semua longkang serta parit di Johor. Foto FB Onn Hafiz Ghazi

Beliau seterusnya menggesa semua pihak agar memainkan peranan dan memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan.

"Ambil serius setiap aduan yang diterima agar masalah seperti longkang tersumbat, rosak, serta penuh dengan semak samun dan sampah sarap diselesaikan dengan segera.

"Saya juga menyeru kepada semua Bangsa Johor agar jagalah kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata.

Artikel Berkaitan:

"Semua komuniti masyarakat bersama-samalah dengan kerajaan negeri agar kita dapat membangunkan negeri yang bersih dan selesa demi kemaslahatan bersama," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!