'Ada yang lepaskan ikan asing'

Seekor ikan asing spesies alligator gar ditemui mati di Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto tular di X
Seekor ikan asing spesies alligator gar ditemui mati di Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto tular di X
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seekor ikan asing spesies invasif iaitu alligator gar (atractosteus spatula) dipercayai dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ditemui mati di Taman Tasik Metropolitan Kepong di sini.

Pengarah Perikanan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Suhanah Kassiron berkata, alligator gar adalah spesies larangan yang tidak boleh diimport, menjual, memelihara atau menyimpan ikan hidup mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, DSB, Bagi Ikan) 1990 Pindaan 2011.

Katanya, setakat ini Pejabat Perikanan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak pernah memberi kebenaran untuk mengimport spesies itu.

"Kebiasaannya ikan ini dibawa masuk oleh pihak tertentu secara tidak sah ke negara ini dan kemudian dilepaskan oleh pihak tidak bertanggungjawab ke perairan umum di negara ini.

"Walaupun mempunyai kepala yang menyerupai kepala buaya, alligator gar bukanlah pemangsa yang berupaya untuk membaham manusia. Ini kerana diet ikan tersebut hanya merangkumi ikan-ikan yang boleh muat dalam mulutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, melepaskan apa-apa spesies haiwan yang bukan tempatan di habitat yang bukan asal tempat tinggal akan membawa kesan negatif yang sangat besar terhadap keseimbangan ekosistem.

Tegas Suhanah, pihaknya mengingatkan orang awam atau mana-mana pihak yang tertangkap atau terjumpa ikan asing termasuk alligator gar ini supaya tidak menyimpannya atau tidak dilepaskan semula ke perairan umum.

"Ini bagi mengelakkan ikan asing invansif ini menjadi ancaman baharu kepada populasi ikan tempatan khususnya ikan asli bermutu tinggi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sepanjang tahun lalu, Pejabat Perikanan Kuala Lumpur/Putrajaya 2023 telah menjalankan inventori di sungai di sekitar ibu negara.

"Tahun ini, kita akan mempergiatkan lagi aktiviti inventori ini ke beberapa tasik utama bagi mendapatkan data taburan spesies ikan di sungai dan tasik di Kuala Lumpur," katanya.

Sejak semalam, tular menerusi perkongsian di aplikasi X Rudy Hasnan yang menemui bangkai ikan itu semasa berjoging di Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!