Kos sara hidup meningkat antara rungutan penduduk Sungai Bakap - Abidin

Abidin (empat kanan) semasa menyantuni para peniaga di Simpang Ampat, Sungai Bakap pada petang Isnin.
Abidin (empat kanan) semasa menyantuni para peniaga di Simpang Ampat, Sungai Bakap pada petang Isnin.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Kenaikan kos sara hidup antara rungutan yang paling banyak diterima oleh calon Perikatan Nasional (PN) Sungai Bakap, Abidin Ismail dalam tempoh kempen bertemu penduduk sepanjang 10 hari.

Menurutnya, menjelang hari pengundian pada Sabtu ini, beliau akan terus turun padang dan menyantuni sekaligus mendengar masalah yang mahu diluahkan oleh masyarakat setempat.

"Masuk hari ke-10, kempen setakat ini Alhamdulilah, sambutan masyarakat pengundi Sungai Bakap amat positif merentasi kaum lah. Isu yang pertamanya rungutan iaitu tentang caj air yang tinggi.

"Kedua, (harga) minyak (diesel) naik barang semua naik (kos sara hidup). Jadi itu tanda memorandum proses kepada kerajaanlah. Jadi semua rakyat pun terlibat," katanya semasa ditemui semasa program kempennya di Simpang Ampat pada petang Isnin.

Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu berkata, apa yang dilakukan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff sebelum ini akan diteruskan oleh beliau dalam usaha menjadi pemudah cara rakyat.

Menurutnya, sebelum ini beberapa aduan penduduk seperti masalah banjir turut dibawa ke perhatian pihak berwajib untuk diselesaikan.

"Setiap bulan kita ada mesyuarat jawatankuasa peringkat Seberang Perai Selatan bersama tuan pegawai daerah, jika ada apa-apa masalah yang berlaku terutamanya penduduk Sungai Bakap kita bawa ke mesyuarat tersebut terutamanya kawasan panas melibatkan kawasan banjir

"Kita bawa perkara tersebut ke mesyuarat berkenaan berkenaan tambatan banjir (dan hasilnya), ada yang telah dibuat, kita maklumkan kepada Jabatan Pengairan dan saliran (JPS)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, maklum balas daripada JPS adalah sangat baik dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat berkaitan masalah banjir tersebut.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Abidin

dan calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin.

Ia susulan kematian Allahyarham Nor Zamri dari Pas yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!