Kerajaan tidak akan berundur laksana penyasaran subsidi - PM Anwar

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Kementerian Kewangan pada Selasa. Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Kementerian Kewangan pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Meskipun menerima kecaman dan kritikan hebat, kerajaan tidak akan berundur daripada keputusan pelaksanaan penyasaran subsidi.

Berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan hasil rasionalisasi subsidi diesel dipulangkan kepada rakyat.

"Apakah boleh kita izinkan dalam satu negara berlaku ketirisan hasil sama ada melalui ‘sakau’, kecurian atau pemberian subsidi kepada bukan golongan sasar?" katanya.

Ujar beliau, kerajaan cuba mencari penyelesaian untuk meneruskan pemberian subsidi diesel itu namun tidak dapat diteruskan berikutan penyeludupan yang berleluasa.

"Penyeludupan berleluasa itu rahsia umum puluhan tahun. Kita bantu nelayan tapi ada yang menggunakannya untuk dijual kepada nelayan asing.

"Kita tahu kiosk petrol sempadan penuh dengan pembelian hasil subsidi untuk kegunaan negara lain," jelas Anwar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, situasi itu menggusarkan kerajaan pimpinannya untuk terus bertindak.

“Saya juga tidak sempurna, ada beberapa kelemahan yang kita kenal pasti dan kita mencari jalan untuk meringankan beban rakyat, tetapi untuk meneruskan (pemberian subsidi) tidak boleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, dalam sebuah negara demokratik perlu ada pimpinan politik, penjawat awam, pihak swasta termasuk agensi penting untuk mengambil sikap lebih berani dan bertanggungjawab di samping tidak mengenepikan keresahan rakyat.

Justeru, katanya, keputusan yang dibuat perlu istiqamah dan memberikan penjelasan sewajarnya walaupun menghadapi sedikit kegusaran.

"Kalau tanya saya yang diberikan amanah, pilihan saya untuk melakukan yang sebaiknya dengan melakukan perubahan sedaya upaya sebaiknya (untuk negara) dan tak boleh berundur,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam perlu berusaha memastikan tiada kebocoran hasil negara berlaku seiiring dengan usaha kerajaan membanteras rasuah dan ketirisan.

“Kita susah payah buat penyasaran subsidi diesel, tapi bidang penguatkusaan kebocoran masih berterusan, ia tidak adil.

"Ini mengundang malapetaka kepada negara apabila langkah penyasaran subsidi memberi kebimbangan kepada rakyat, tapi jalan penguatkuasaan itu mengambil jalan mudah.

“Ini (penjimatan subsidi) akan kembali kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, keputusan tegas dibuat agar pimpinan beliau dan menteri tidak mencampuri urusan tender selain rundingan terus dibatalkan.

“Ini tak semestinya popular di kalangan atasan sebab kita sudah biasa dengan budaya begitu rupa.

"Rasuah sudah menjadi endemik di negara ini kecuali kita menggunakan sumber sedia ada untuk memeranginya. Saya punya komitmen penuh untuk memerangi jenayah ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!