Treler terbabas, 40,000 liter susu getah tumpah di lebuh raya

Sebanyak 40,000 liter susu getah tumpah selepas treler yang membawa muatan itu terbabas ke dalam parit di tepi jalan KM41.2 Lebuhraya PLUS arah selatan, Sabtu lepas. Foto JAS Kedah
Sebanyak 40,000 liter susu getah tumpah selepas treler yang membawa muatan itu terbabas ke dalam parit di tepi jalan KM41.2 Lebuhraya PLUS arah selatan, Sabtu lepas. Foto JAS Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang memantau rapi kerja-kerja pembersihan 40,000 liter susu getah yang tumpah selepas sebuah treler yang membawa muatan itu terbabas ke dalam parit di tepi jalan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) KM41.2 arah selatan dari Hutan Kampung ke Alor Setar, Sabtu lepas.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan berhubung tumpahan itu melalui sistem e-aduan pada jam 6.59 petang pada hari kejadian sebelum pegawai JAS ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

"Kes dipercayai berlaku pada jam 6.40 petang apabila sebuah treler yang membawa dua kontena berisi 40,000 liter susu getah terbabas ke dalam parit. Kemalangan menyebabkan semua susu getah itu tumpah dan memasuki longkang serta parit di kawasan berhampiran, dianggarkan sejauh 500 meter, dan sebahagiannya memasuki kawasan sawah.

"Treler berkenaan dipercayai sedang membawa susu getah dari Thailand ke Pelabuhan Pulau Pinang. Bagi meminimumkan pengairan tumpahan susu getah itu ke sungai berdekatan, pihak PLUS telah menyekat tumpahan dengan menggunakan beg-beg guni pasir dan tanah di jajaran longkang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semasa hari kejadian JAS telah mengarahkan pihak syarikat melantik kontraktor bagi melakukan kerja-kerja penyedutan sisa tumpahan susu getah dan kerja pembersihan yang lain.

"Syarikat kontraktor dari Pulau Pinang yang dilantik telah mula membuat kerja-kerja pengepaman keluar sisa susu getah yang bercampur air sejak semalam selepas kerja pengalihan treler selesai dilakukan sepenuhnya pada Ahad.

"Setakat semalam, tiga lori digunakan untuk mengangkat sisa susu getah yang dipam dengan jumlah keseluruhan 36 tan. Kerja-kerja pengepaman masih dijalankan hari ini dan dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari lagi untuk selesai,” katanya.

Sharifah Zakiah berkata, pihaknya juga telah mengambil sampel sisa tumpahan berkenaan dan pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan kerja-kerja pembersihan dibuat sehingga sempurna dan buangan dihantar ke premis kitar semula getah yang berlesen dengan JAS di Pulau Pinang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!