Australia naikkan yuran visa pelajar antarabangsa lebih dua kali ganda

Yuran bagi pelajar antarabangsa yang memohon untuk melanjutkan pengajian di Australia kini dinaikkan kepada AU$1,600 (AS$1,064.7). Foto 123RF
Yuran bagi pelajar antarabangsa yang memohon untuk melanjutkan pengajian di Australia kini dinaikkan kepada AU$1,600 (AS$1,064.7). Foto 123RF
A
A
A

CANBERRA - Australia pada Isnin mengumumkan yuran bagi pelajar antarabangsa yang memohon untuk melanjutkan pengajian di negara itu kini dinaikkan kepada AU$1,600 (AS$1,064.7) meningkat berbanding AU$710 (AS$472.4) sebelum ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Clare O'Neil berkata dalam satu kenyataan bersama Menteri Pendidikan, Jason Clare; Menteri Kemahiran dan Latihan, Brendan O'Connor serta Menteri Imigresen, Andrew Giles, bahawa kenaikan yuran ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengawal jumlah migrasi ke Australia, lapor Xinhua.

"Perubahan yang berkuat kuasa hari ini akan membantu memperbaiki sistem pendidikan antarabangsa kita dan menjadikan sistem migrasi lebih adil dan terkawal," katanya.

Menurut Biro Perangkaan Australia (ABS), migrasi ke Australia mencatat rekod 548,800 orang dalam tempoh 12 bulan hingga September 2023.

Parti Buruh yang memerintah menetapkan sasaran untuk mengurangkan migrasi tahunan kepada 260,000 menjelang 2025 dan pada Mei mengumumkan rancangan untuk mengehadkan pendaftaran pelajar antarabangsa selepas jumlah mereka melebihi 700,000 pada Februari.

Clare berkata pada Isnin bahawa kenaikan yuran akan mengukuhkan integriti sistem pendidikan antarabangsa Australia dan membantu membiayai pendidikan dan inisiatif migrasi.

Sementara itu, The Group of Eight (Go8) iaitu gabungan universiti penyelidikan elit menegaskan bahawa langkah ini akan bertindak sebagai penghalang kepada pelajar antarabangsa dan mengurangkan kepelbagaian.

"Sekali lagi pelajar antarabangsa digunakan sebagai sumber kewangan untuk menyokong ekonomi dan inisiatif kerajaan," kata ketua eksekutifnya, Vicki Thomson dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Bidang pendidikan antarabangsa menyumbang AU$47.8 bilion (AS$31.8 bilion) kepada ekonomi Australia pada 2023, meningkat daripada AU$26.6 bilion (AS$17.7 bilion) pada 2022, menurut angka rasmi. - Bernama-Xinhua

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!