Harga ambang hartanah warga asing diturunkan
BATU CAVES - Kerajaan negeri Selangor menetapkan harga ambang pembelian hartanah bagi warga asing dikurangkan kepada RM1.5 juta bagi hartanah jenis strata dan RM2 juta bagi unit rumah bertanah (landed property).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan kadar baharu bermula 1 Januari lalu itu menunjukkan penurunan sebanyak RM500,000 dari kadar sebelumnya.
Menurutnya, penetapan baharu itu disyaratkan kepada lambakan rumah tidak terjual sehingga 2018 dan terhad kepada hartanah berstatus pajakan.
"Selangor sebelum ini antara negeri yang meletakkan harga yang tinggi namun disebabkan kelembapan industri hartanah dalam negara juga di Selangor, maka kadar itu diturunkan.
"Pelaksanaannya melibatkan unit yang sudah mempunyai sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) sehingga tahun 2018 sahaja di mana langkah ini dijangka mampu memudahkan dan menyelesaikan masalah lambakan rumah yang tidak terjual," katanya dalam sidang media di Pejabat Penghulu Mukim Batu di sini, hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim.
Katanya, polisi baharu itu berlangsung selama setahun dan akan dikaji semula selepas tamat tempoh berkenaan dengan mengambil kira perkembangan pasaran hartanah semasa.
"Kerajaan negeri bukan membuat keputusan ini dalam masa satu hari sebaliknya telah mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor yang menganjurkan bengkel.
"Bengkel itu melibatkan pertemuan dengan pemaju perumahan dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang mempunyai senarai data perumahan terjual dan tidak terjual di Selangor itu dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diputuskan akhir tahun lepas dan pelaksanaannya bermula Januari tahun ini," katanya.
Menurutnya, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran penjualan hartanah sebaliknya langkah itu adalah langkah menyediakan fasiliti kepada pemaju.
"Kadar baharu ini tidak terlalu rendah kerana tujuannya untuk meningkatkan pembelian dan memudahkan pemaju menjual hartanah mereka.
"Perlu diingatkan kadar baharu ini bukan hanya memberikan kemudahan kepada pemaju tetapi keputusan ini sebenarnya memberikan manfaat kepada kitaran perniagaan di sektor terlibat termasuk binaan, pembekalan, kuari dan perkakasan yang saling berkait," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!