Belum ada kertas dasar laksana rasionalisasi subsidi RON95 - PM
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Belum ada kertas dasar bagi tujuan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 yang dibawa ke peringkat Kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini kerajaan lebih memberi tumpuan kepada melihat kesan penyasaran subsidi ke atas diesel serta elektrik dan reaksi rakyat terlebih dahulu.
“Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakan (rasionalisasi subsidi RON95) dengan cepat. Itu saya boleh beritahu.
“Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik kita lihat dulu langkah-langkah (penyasaran) ke atas elektrik, ayam dan penyasaran diesel. Itu tiga perkara dibuat tahun ini dan tahun lalu.
“Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah (selepas itu) kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan paling penting adalah menghentikan subsidi kepada golongan paling kaya dan orang asing.
“Bagaimana kaedahnya kita kena fikir supaya tidak membebankan rakyat. Jangan memberi subsidi kepada golongan paling kaya dan orang asing seperti mana kita lakukan sekarang.
“Berpuluh-puluh tahun (dibiarkan) kerana tidak ada kerajaan yang sanggup menangani masalah tersebut,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!