Tak serik ulangi kesalahan
KUALA KEDAH - Belum pun selesai kes terdahulu, sebuah bot nelayan sekali lagi mengulangi kesalahan melanggar syarat sah lesen, di kedudukan lebih kurang 2.6 batu nautika barat Kuala Sala, malam tadi.
Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot pukat tunda kelas C itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.
Menurutnya, bot tempatan itu ditahan bot peronda Maritim Kuala Kedah pada 11.30 malam selepas dikesan menceroboh dan menjalankan aktiviti menunda ikan di kawasan nelayan pantai.
“Hasil rondaan di sekitar perairan tersebut, seorang tekong warganegara Thailand bersama empat awak-awak warganegara Kemboja berada di atas bot itu. Masing-masing berusia lingkungan 18 hingga 56 tahun dipercayai melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen,” katanya.
Mahmad Faizal berkata, bot terbabit pernah ditahan sebelum ini dan kes masih lagi dalam siasatan.
“Bot tersebut kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pengusaha bot nelayan hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang dan diingatkan agar tidak melanggar syarat lesen perikanan.
“Kerjasama erat kalangan komuniti maritim setempat merupakan faktor utama membanteras pelanggaran undang-undang dan kegiatan jenayah di laut,” katanya.
Tambahannya, sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam, MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!