KIGIP jadi hab semai bakat, inovasi utara Malaysia

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak dijangka akan menjadi salah satu hab di utara Malaysia untuk menyemai bakat dan inovasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bersesuaian dengan lokasinya yang berdekatan dengan pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran tinggi, institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan Pusat Latihan Giat MARA.

Menurutnya, faktor ini akan dapat memastikan bekalan graduan mahir bagi mengisi jawatan berkemahiran dan bernilai tinggi untuk KIGIP, sambil memupuk dan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan mapan untuk terus berkembang maju.

“Selepas beroperasi sepenuhnya kelak, ia akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara, di mana pelabur asing dan domestik dijangka akan berminat untuk melabur di KIGIP.

“Malahan, operasi syarikat multinasional (MNC) di sana juga akan berupaya untuk membina rantaian bekalan yang akan mampu menyokong perkembangan industri domestik.

“Selain menjana aktiviti ekonomi serta menarik pelaburan berkualiti, pembangunan KIGIP juga mampu menawarkan prospek kerjaya yang menarik dan berkualiti kepada bakat tempatan di kawasan sekitarnya,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) tentang hala tuju KIGIP dalam meningkatkan pelaburan domestik yang selari dengan Pelan Halatuju Peralihan Tenaga tetapi dalam masa yang sama perlu mengimbangi keperluan kawasan berdekatan seperti masalah bekalan air di Seberang Perai Selatan.

KIGIP merupakan perancangan kerajaan yang berteraskan kepada kaedah kerjasama awam swasta (PPP) untuk membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, Perak, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Tambah Anwar, KIGIP adalah satu projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama, dengan fasa pertama melibatkan pembangunan tanah berkeluasan 400 hektar.

Jelasnya, dengan kedudukan yang strategik iaitu berdekatan dengan hab sektor elektrikal dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di Kedah, KIGIP akan melengkapi ‘spillover demand’ kepesatan industri tersebut.

“Berkenaan dengan aspek mengimbangi keperluan bekalan air di kawasan berdekatan seperti di kawasan Seberang Perai Selatan, seperti yang telah diumumkan oleh saya semasa Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP pada 15 Jun yang lalu, kerajaan akan melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah Dari Sungai Perak Untuk Bekalan Air di Kawasan Utara Negeri Perak dan Negeri Pulau Pinang.

“Ia berkapasiti 1,500 juta liter sehari (JLH) dan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM4 bilion yang merangkumi komponen pemindahan air dan rawatan air.

“Memandangkan keperluan mendesak bekalan air di kawasan Seberang Perai Selatan (termasuk Sungai Bakap), kerajaan akan memberi tumpuan dan menyegerakan pelaksanaan projek ini yang akan turut menyelesaikan masalah air di daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Perak,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!