Skuad renang cemerlang di AUG 2024
KEJAYAAN skuad renang negara meraih tujuh pingat emas bagi temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya Malang 2024 lebih satu medal dari edisi Ubon Ratchathani 2022, Thailand disifatkan pencapaian cemerlang.
Pengurus skuad renang negara, Tan Seng Sen berkata, persediaan awal dilakukan skuad renang juga antara penyumbang membolehkan perenang negara menampilkan aksi terbaik pada temasya edisi ke-21 di Indonesia itu.
“Ini merupakan pencapaian terbaik buat skuad renang negara bagi kempen AUG Surabaya Malang 2024 berdasarkan prestasi semasa sepanjang enam hari pertandingan.
“Saya bangga kerana setiap atlet kita telah memberikan komitmen terbaik masing-masing untuk temasya pada kali ini.
“Begitupun saya akui kecewa apabila kita terlepas beberapa acara sengit yang begitu hampir mendapatkan emas walaupun kita sasarkan tujuh pingat emas,” katanya.
Beliau kepada pemberita sambil mengakui tentangan sengit dari tuan rumah Indonesia yang menghantar skuad terkuat apabila terdapat beberapa perenang yang balik dari luar negara untuk menyertai AUG kali ini.
Mengulas pencapaian Bryan Leong Xin Ren yang dipertaruhkan untuk tiga emas di Surabaya, Seng Sen berkata: “Sejujurnya Bryan telah berusaha memberikan aksi terbaik dalam setiap kategori yang disertai dalam temasya ini.
“Bryan sememangnya diletakkan sasaran untuk mendapat tiga pingat emas, sebaliknya dia berjaya menyumbangkan dua emas dan satu gangsa.
“Biarpun dengan kondisi sedemikian dia tetap berusaha memburu pingat untuk kontinjen negara biarpun mengalami demam sejak hari pertama kemudian diare.
“Kondisi Bryan tidak berapa serius cuma apabila berdepan demam kemudian cirit birit, secara tidak langsung menjejaskan tumpuan dalam pertandingan,” katanya ketika mengulas status penuntut King’s College London tersebut.
Sementara itu, perenang negara Jayden Tan Khai Xin menyifatkan penampilan pertama di pentas kompetitif seperti AUG 2024 merupakan proses pembelajaran tambahan pula selepas mengharungi segala cabaran.
“Sejujurnya sasaran peribadi saya adalah tujuh emas, kerana setiap kali turun beraksi saya meletakkan sasaran pingat emas.
“Namun selepas berdepan segala cabaran sepanjang berada di sini, saya berpuas hati dengan pingat emas, perak dan gangsa dimenangi kali ini.
“Biarpun begitu saya menganggapkan cabaran di AUG 2024 satu proses pembelajaran kerana tidak semua yang kita rancang akan menghasilkan keputusan dikehendaki, selepas ini saya akan buat yang lebih baik,” kata Khai Xin penuntut IMU University tersebut.
Skuad renang negara melabuh kempen pemburuan pingat hari keenam temasya AUG Surabaya-Malang 2024 di Kolam Renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI), Surabaya dengan mengutip satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada Isnin.
Keputusan itu menyaksikan skuad renang menamatkan saingan dengan sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa selepas enam hari bertarung di laman kelab bola sepak liga Indonesia, Persebaya Surabaya tersebut.
Skuad renang AUG Surabaya Malang 2024 selain diperkuatkan Bryan dan Jayden juga dibarakan Hii Puong Wei (Asia Pacific University), Terence Ng Shin Jian (Taylor’s University), Ng Tze Xiang (MAHSA University), Chong Guan Ming (Taylor’s University) dan Liew Zeng Wye (Taylor’s University).
Cabaran negara juga diperkukuhkan Low Zheng Yong (UCSI University), Georgene Wee Jee Ern (Sunway University), Lau Jerriel (Unitar International University), Phee Jinq En (Taylor’s University), Ho Keesha (TAR UMT) dan Wong Shi Qi (Universiti Putra Malaysia).
Turut mengalas cabaran Chu Xin Ying (INTI College Sabah), Christy The Xing Ti (MMU), Lee Yen Yi (IMU University) dan Ng Zi Syuen (Taylor’s University).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!