PRK Sungai Bakap: Mantan pendidik berwibawa bawa keperluan rakyat

Fadhlina Sidek. Foto Bernama
Fadhlina Sidek. Foto Bernama
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kewibawaan calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin sebagai mantan pendidik mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Keyakinan itu diluahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang melihat kredibiliti dan keuapayaan calon diketengahkan antara sandaran utama pilihan pengundi pada pilihan raya kecil (PRK) ini.

Menurutnya, iltizam dibawa Joohari atau dikenali Cikgu Joo yang menggariskan empat teras utama dalam manifesto bagi PRK berkenaan iaitu prasarana dan progresif; akhlak, akademik anak muda; damai dan untuk semua turut mencakupi semua keperluan rakyat pelbagai peringkat.

"Saya yakin rakyat pilih Kerajaan Perpaduan kerana ini kerajaan yang stabil.

"Namun paling utama, kredibiliti calon kita sebagai mantan pendidik telah mengetengahkan tawaran yang dapat memenuhi keperluan semua rakyat di sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Anti Buli Peringkat Daerah Kerian di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Krian di sini pada Selasa.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita Parti Keadikan Rakyat (PKR) berpuas hati dengan perkembangan dan gerak kerja yang dilakukan jentera sepanjang kempen PRK ini.

"Sekarang kita menuju pusingan terakhir (kempen) dan saya lihat perkembangannya sangat positif," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Joohari, 60, yang memiliki latar belakang pendidikan di peringkat universiti dan mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat satu kelebihan kerana pengundi di Sungai Bakap adalah daripada komuniti yang begitu senang berdampingan dengan pendidik.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari iaitu bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dengan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai.