Bas persiaran: Tiada lesen, guna telefon bimbit semasa memandu

Muhammad Kifli
Muhammad Kifli
A
A
A

GOMBAK - Sebanyak 15 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Bas Persiaran dan Bas Ekspres di Lebuhraya Karak, di sini, pada Selasa.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah tiada Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan tiada lesen memandu kompeten (CDL).

"Kita turut mengesan kesalahan teknikal lain seperti tayar, brek dan lampu serta sebuah bas ekspres yang diubah suai.

"Kita juga mengesan sebuah bas ekspres yang tiada pemandu bas kedua dan seorang pemandu bas persiaran menggunakan telefon bimbit ketika pemanduan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhammad Kifli berkata, sebanyak 68 bas persiaran dan 25 bas ekspres diperiksa sepanjang operasi yang bermula pada jam 6 pagi hingga 12 tengah hari.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 10 bas persiaran dan 12 bas ekspres dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, operasi bersepadu itu turut melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

"Motac telah mengesan enam bas persiaran yang tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Artikel Berkaitan:

"AADK pula telah melaksanakan ujian air kencing terhadap 49 pemandu, daripada jumlah itu tiga individu didapati positif dadah dan ditahan oleh agensi berkenaan," katanya.