Pembunuh 'Baby Zara' kekal dihukum gantung sampai mati
KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut yang membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan dikenali ‘Baby Zara’ pada enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir oleh Hazmi Majid, 42, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, sabitan dan hukuman (gantung sampai mati) adalah selamat.
“Ia seperti mana keputusan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam (pada 20 Ogos 2021) dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan (1 Mac 2023).
“Mahkamah berpuas hati, hukuman yang sesuai dijatuhkan ialah hukuman mati kerana jenayah yang dibuat, sangat kejam,” katanya yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh Nur Muazaralfa Mohammad Zainal di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Media sebelum ini melaporkan bayi itu meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.
Ibu mangsa sebelum ini dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan terbabit yang mendakwa kanak-kanak itu tercekik buah epal.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya dan laporan Patologi mendapati punca kematian mangsa disebabkan 'impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala dan tengkoraknya.
Semasa prosiding, peguam, T Vijay yang mewakili perayu menghujahkan, Hazmi tidak sedar melakukan perbuatan tersebut kerana berada di bawah pengaruh dadah.
Beliau memohon, anak guamnya dikenakan hukuman penjara 30 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi selaku responden berkata, rayuan Hazmi itu wajar ditolak.
Menurutnya, ini kerana tindakan perayu cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan ketika kejadian berlaku, dia berada dalam keadaan sedar.
“Pada hari itu, jam 6.45 pagi, ibu mangsa menghantar bayi itu ke rumah pengasuh, namun telah nazak pada jam 1.30 petang.
“Bayi itu hanya seberat 8.26kg, gigi pun belum tumbuh manakala pendarahan teruk pada otak menyebabkan peluangnya untuk hidup amat tipis,” katanya.
Selain itu, pada 29 November 2018, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 November 2018.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!