Peniaga kecil jualan bawah RM150,000 tidak perlu keluarkan e-Invois

Amir Hamzah Azizan. Foto Bernama
Amir Hamzah Azizan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-Invois buat sementara waktu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia berikutan kerajaan mengambil maklum proses untuk mengadaptasi pelaksanaan e-Invois itu memerlukan tempoh yang panjang berikutan cabaran dan kekangan dihadapi, terutama bagi peniaga kecil seperti peniaga pisang goreng, gerai tepi jalan atau perniagaan dari rumah ke rumah.

“Namun kerajaan menggalakkan penglibatan peniaga kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan perniagaan.

“Kerajaan juga akan memastikan tempoh peralihan kepada e-Invois dapat dilaksanakan secara lebih fleksibel dengan mengambil pendekatan 'didik dan perbetul'.

“Kerajaan akan terus komited untuk membantu semua syarikat termasuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan peniaga kecil sepanjang tempoh peralihan dalam melaksanakan e-Invois sepenuhnya,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta perincian usaha kerajaan untuk menjelaskan dan membantu para pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelaksanaan e-Invois serta kaedah kawalan kos penyelenggaraan sistem tersebut.

Ujar Amir Hamzah, kerajaan juga setuju membenarkan PMKS mengeluarkan e-Invois yang disatukan iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan setiap bulan dan hanya perlu dikemukakan kepada pihak LHDN dalam tempoh tujuh hari pertama pada bulan berikutnya.

“Kerajaan sedar akan cabaran yang akan dihadapi PMKS dalam mengadaptasi e-Invois ini, terutamanya peningkatan kos operasi, penerapan teknologi, dan jurang kesediaan pengetahuan berkenaan e-Invois,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi membantu memudahkan PMKS, terdapat dua kaedah penghantaran invois kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti penghantaran data dan integrasi sistem perakaunan perniagaan dengan sistem MyInvois.

Ulas beliau, kaedah penghantaran data boleh dilakukan menerusi Portal MyInvois dan Sistem Point of Sales (POS).

“Peniaga yang memilih untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan pembekal teknologi, insentif cukai disediakan seperti pengurangan tempoh tuntutan elaun modal daripada empat tahun kepada tiga tahun bagi pembelian peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pakej perisian komputer berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2024.

“Selain itu, potongan cukai sehingga RM50 ribu bagi setiap tahun taksiran bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai tahun taksiran 2024 sehingga 2027,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!