Perjuangan panjang Halidan terajui PKZ Pahang

Halidan diraikan kakitangan PKZ Pahang sempena persaraaannya berkuat kuasa 30 Jun lalu.
Halidan diraikan kakitangan PKZ Pahang sempena persaraaannya berkuat kuasa 30 Jun lalu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Perjuangan selama 30 tahun, Datuk Halidan Md Daud, 66, dalam menerajui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang akhirnya menemui titik noktah apabila dia bersara wajib pada 30 Jun lalu.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai bakti telah dicurahkan bekas Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang itu dalam memperkasa dan meletakkan institusi berkenaan pada tahap seperti yang ada hari ini.

Daripada RM5.4 juta kutipan zakat harta dengan hanya 5,000 pembayar pada awal penubuhannya, kini PKZ Pahang mampu berbangga apabila kutipan zakat harta pada 2023 mencecah RM215 juta dengan hampir 99,000 pembayar.

Halidan berkata, PKZ Pahang bermula sebagai sebuah syarikat swasta yang ditubuhkannya bersama beberapa individu lain untuk menguruskan kutipan zakat harta di daerah Kuantan pada 1994.

Menurutnya, syarikat yang ditubuhkan itu mendapat kepercayaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memandangkan sistem kutipan berkomputer yang diperkenalkan ketika itu lebih sistematik.

"Pada tahun 1996, pihak Muip mengambil alih syarikat itu sebagai anak anak syarikat dan memperluaskan kutipan zakat harta ke seluruh daerah secara berperingkat.

"Saya diberi amanah menerajui PKZ Pahang dengan hanya lapan kakitangan ketika itu dan banyak cabaran terpaksa dilalui untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kewajipan berzakat dan meyakinkan umat Islam terhadap peranan agensi ini," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pelukan perpisahan sempena persaraan Halidan selepas menerajui PKZ Pahang selama 30 tahun.
Pelukan perpisahan sempena persaraan Halidan selepas menerajui PKZ Pahang selama 30 tahun.

Dalam pada itu, anak kelahiran Jerantut itu berkata, 10 tahun pertama penubuhan PKZ Pahang mengalami satu tempoh yang amat mencabar.

"Awalnya kami mendapat penolakkan daripada sesetengah anggota masyarakat yang tidak boleh menerima kaedah kutipan zakat yang dilaksanakan.

"Bagi mereka ketika itu, ibadah urusan dan tanggungjawab peribadi jadi mereka tidak suka apabila ada kakitangan PKZ mengadakan kempen dengan mengedarkan risalah di tempat umum dan dari rumah ke rumah," katanya.

Halidan berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan kejadian kakitangannya dimaki hamun dan diugut serta dihalau dengan parang oleh seorang individu sekiranya mengedar risalah kempen kutipan zakat ke rumahnya.

"Kejadian itu berlaku pada peringkat awal penubuhan cawangan PKZ Pahang di sebuah daerah di negeri ini.

Halidan merakam detik-detik terakhir di Pejabat PKZ Pahang selepas bersara wajib berkuat kuasa 30 Jun lalu.
Halidan merakam detik-detik terakhir di Pejabat PKZ Pahang selepas bersara wajib berkuat kuasa 30 Jun lalu.

"Bukan hanya itu, kami juga turut berdepan tekanan masyarakat mempersoalkan tentang agihan wang zakat malah ada tohmahan menuduh kami menyalahgunakan wang tersebut," ujarnya.

Menurutnya, salah faham itu timbul disebabkan kebanyakan masyarakat tidak faham dan tahap kesedaran terhadap kewajipan berzakat masih rendah.

"Mungkin bagi mereka ibadah adalah tanggungjawap peribadi dan tidak boleh menerima kaedah kutipan zakat yang dilaksanakan.

"Pada masa sama, mereka juga tidak nampak manfaat zakat memandangkan ketika itu jumlah kutipan rendah dan jumlah penerima juga agak kecil," ujarnya.

Halidan berkata, pengalamannya selama 13 tahun dalam sektor perbankan dengan jawatan terakhir sebagai pengurus cawangan memberi satu kelebihan kepadanya terutama berkaitan kewangan dan pemasaran untuk membawa PKZ Pahang sebagai sebuah agensi kutipan zakat yang diyakini.

"Alhamdulillah, perkhidmatan PKZ Pahang mendapat kepercayaan masyarakat Islam di negeri ini apabila jumlah kutipan dan bilangan pembayar meningkat setiap tahun.

"Masyarakat juga mula membuka mata dengan data-data kutipan dan agihan yang dilakukan sekaligus membuktikan PKZ Pahang satu badan yang kompeten dalam menguruskan kutipan zakat harta di negeri," katanya.

Halidan berkata, selain menerajui PKZ Pahang, dia juga diberi amanah dalam Pengurusan Wakaf Pahang oleh Muip pada 2021.

Selepas 30 tahun berkhidmat, Halidan berkata dia lega apabila meninggalkan agensi itu dalam keadaan seperti mana hari ini.

Bagaimanapun katanya, jika diambil kira bilangan pembayar zakat di negeri ini tahun lalu, jumlahnya belum mencapai 50 peratus berbanding jumlah penduduk yang produktif.

"Masih banyak ruang boleh ditambah baik kerana ramai belum membayar zakat harta dan mereka adalah golongan sasar berpotensi yang perlu sentiasa didekati," katanya.

Menyentuh mengenai perancang selepas persaraannya, Halidan berkata, dia sudah ada perancangan dan akan menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja kemasyarakatan termasuk kepada tugasnya sebagai Pengerusi Masjid Saidina Ali bin Abi Talib, Bukit Sekilau dan Pengerusi Jawatankuasa Rumah Anak Yatim Permata Camar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!