Tangkapan suami isteri, bongkar penemuan dadah nilai RM1.8 juta

Hussein (dua dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Hussein (dua dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik penghantaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar susulan penemuan dadah bernilai RM1.8 juta menerusi tangkapan pasangan suami isteri di sekitar Puchong Jaya pada Khamis.

Kegiatan terbabit dipercayai menggunakan aplikasi dalam talian bagi mendapatkan khidmat kurier untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dijalankan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada jam 4.45 petang.

"Pasukan serbuan yang menjalankan siasatan dan risikan sebelum itu bertindak menahan lori dinaiki kedua-dua suspek berumur lingkungan 40-an.

"Pemeriksaan menemui 56 plastik berwarna keemasan yang disembunyikan dalam tujuh guni berisi tanah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Katanya, pemeriksaan susulan mendapati keseluruhan dadah jenis syabu itu seberat 57.6 kilogram.

"Siasatan mendapati lori ini merupakan lori kurier dan digunakan untuk menghantar barangan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek dipercayai menghantar pesanan yang diterima menerusi aplikasi syarikat kurier berkenaan dan siasatan masih dijalankan berkaitan sama ada kedua-dua suspek mengetahui kandungan barangan dibawa itu," katanya.

Menurutnya, keseluruhan dadah berkenaan dipercayai dari negara jiran dan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya ada individu lain terlibat dalam kegiatan ini.

"Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis THC," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!