Majlis Mineral Negara setuju cadangan tempoh minimum kelulusan pajakan melombong

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan tempoh minimum kelulusan pajakan melombong dan Lesen Melombong Tuan Punya Di Bawah Enakmen atau Ordinan Mineral Negeri dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) Ke-3.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu merupakan langkah untuk mewujudkan persekitaran industri mineral yang kondusif dan menyokong perkembangan industri.

"Ia juga boleh meningkatkan keharmonian antara pihak-pihak berkepentingan khususnya di peringkat kerajaan negeri dan pihak industri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, mesyuarat turut mempersetujui cadangan peaksanaan pengauditan pematuhan kendiri setiap enam bulan bagi mewujudkan industri pengkuarian yang bertanggungjawab dan mampan.

"Inisiatif ini adalah sebagai langkah bagi mewujudkan industri pengkuarian negara yang mengamalkan prinsip bertanggungjawab dan mampan melalui pengauditan kendiri secara berkala berdasarkan kriteria yang telah dibangunkan," jelas beliau.

Ujar Fadillah, MMN telah dimaklumkan mengenai perkara-perkara lain yang menyentuh bidang kuasa beberapa kementerian dan jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

"Kertas-kertas makluman yang dibentangkan adalah berkaitan Keselarasan Perancangan Pembangunan Perlombongan Dengan Rancangan Pemajuan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Kepentingan Membangunkan Teknologi dan Kepakaran Tempatan untuk Ekosistem Industri Bahan Termaju Unsur Nadir Bumi (REE) dan Penambahbaikan Tempoh Kebenaran dan Kelulusan Lesen Eksport Mineral Dan Bahan Batuan," katanya.

Mesyuarat MMN berlangsung di Parlimen itu dihadiri Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Artikel Berkaitan:

MMN kekal menjadi salah satu platform utama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membincangkan isu-isu dasar dan operasi berkaitan industri mineral dalam usaha untuk membangunkan industri ini secara bertanggungjawab dan mampan.

Hal ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan kembali peranan industri mineral sebagai salah satu komponen penting kepada ekonomi negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!