Muzakarah Zakat Nusantara kupas persoalan semasa zakat

Abdul Aziz (tiga dari kanan) turut melancarkan Buku Karikatur Zakat.
Abdul Aziz (tiga dari kanan) turut melancarkan Buku Karikatur Zakat.
A
A
A

BANGI - Lebih 250 perwakilan dari lima negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei berhimpun selama tiga hari pada Muzakarah Zakat Nusantara (MZN) di Bangi Resort Hotel dekat sini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perwakilan terdiri daripada pelbagai sektor termasuk pengurusan zakat, penggubal fatwa dan penasihat syariah, sarjana Islam, penyelidik, ahli akademik, korporat serta individu perseorangan.

Menurutnya, MZN menjadi medan perkongsian perkembangan ilmu, hukum hakam dan tadbir urus zakat dari pelbagai negeri serta negara untuk dimanfaatkan dalam industri zakat.

"MZN terus berusaha mengorak langkah menjadi pentas utama perkongsian mengenai kemajuan pengurusan dan hal ehwal berkaitan ibadah zakat, khususnya daripada aspek hukum-hakamnya dan pendekatan dakwahnya.

"Adalah diharapkan MZN mampu menjadi platform yang berwibawa bagi rujukan institusi zakat demi merungkai pelbagai persoalan dan mencetuskan inovasi zakat," katanya pada majlis perasmian MZN di Bangi Resort Hotel pada Selasa.

Sebahagian daripada peserta yang hadir pada Majlis Perasmian MZN pada Selasa. (Gambar kecil: Muhammad, Izal)
Sebahagian daripada peserta yang hadir pada Majlis Perasmian MZN pada Selasa. (Gambar kecil: Muhammad, Izal)

Penganjuran MZN kali kedua itu bertemakan ‘Kelestarian Syariah dan Pemerkasaan Dakwah Zakat Mendepani Keperluan Zaman’, dianjurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut hadir, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Profesor Dr Ahmad Sunawari Long; Ketua Majlis Ulama Indonesia, Profesor Dr KH Noor Achmad; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama turut dilancarkan Buku Karikatur Zakat.

Sepanjang tiga hari muzakarah berlangsung, sebanyak 41 kertas kerja akan dibentangkan antaranya bertajuk ‘Agihan Dana Zakat oleh Bank Islam Brunei Darussalam: Satu Sorotan oleh Penolong Mufti (Buhuth), Brunei, Datuk Seri Setia Dr Mazanan Yusof.

Abdul Aziz pada majlis sama turut mencadangkan program tersebut diperluaskan bukan hanya di Selangor tetapi juga ke negara Nusantara lain.

Pada masa sama, penganjuran itu diharap dapat meningkatkan kefahaman zakat kepada masyarakat dalam menunaikan tanggungjawab berzakat.

"Peratusan pembayaran zakat di Selangor masih kecil dan banyak cara boleh dilakukan untuk meningkatkan kutipan.

"Menerusi MZN, perwakilan jangan kedekut berkongsi kaedah yang digunakan supaya semua dapat manfaat melalui jumlah kutipan ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Singapura, Dr Izal Mustafa Kamar berkata, penganjuran MZN merupakan inisiatif baik yang kajian ilmiah tersebut dikongsikan itu dapat dibawa ke Singapura untuk dibincangkan.

"Kami sendiri membawakan hal berkaitan digital yang masih dibincangkan di Singapura selain aspek dakwah berkenaan zakat.

"Sudah tentu terdapat persamaan berkaitan pengurusan zakat, fatwa dan rujukan kitab antara Singapura dan Malaysia kerana berpandukan mazhab syafie.

"Oleh itu, kami dari pejabat Mufti Singapura bersama dengan kenalan Malaysia mengadakan kaji selidik untuk saling menyokong antara satu sama lain," katanya ketika ditemui pada MZN.

Seorang lagi peserta, Pengurus Biro Kepatuhan Syariah Indonesia, Muhammad Suharsono berkata, beliau telah menyertai MZN untuk tahun kedua yang perbincangan ilmiah itu digunakan untuk perkembangan zakat di negaranya.

Katanya, perkembangan zakat yang semakin berkembang dari masa ke masa perlu diikuti dengan kepatuhan agar tidak lari daripada landasan syariah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!