Penggodam mohon maaf huru-harakan Indonesia
JAKARTA - Penggodam membuat permohonan maaf kepada rakyat Indonesia selepas mereka melakukan serangan siber ke atas Pusat Data Nasional (PDN) baru-baru ini sehingga menganggu perkhidmatan awam negara berkenaan.
Pengodam yang menggelar diri mereka sebagai Brain Cipher itu berkata, serangan itu dilakukan hanya bagi menguji tahap keselamatan siber di negara paling padat penduduk di ASEAN itu.
"Kami mohon maaf kerana serangan siber ini memberi kesan kepada banyak orang," tulis Brain Cipher pada Selasa.
Sebagai tanda permohonan maaf ini, Brain Cipher akan memberi kata kunci secara percuma bagi membolehkan akses data pemerintah Indonesia yang digodam sejak dua minggu lalu agar boleh dibuka semula.
"Pada Rabu (esok) kami berjanji akan memberi akses kepada kata kunci berkenaan, dan kami akan berpegang teguh kepada janji itu," katanya.
Dalam pada itu, Brain Cipher menafikan bahawa serangan yang mereka lakukan itu bermotif politik dan tidak sama sekali berniat untuk menjatuhkan pemerintah Indonesia.
"Kami harap serangan siber kami ini membuat pemerintah sedar bahawa mereka perlu meningkatkan tahap keselamatan siber mereka, terutama merekrut pengendali siber yang berkelayakan dan mahir," katanya lagi.
Serangan terhadap PDN yang terletak di Surabaya, Jawa Timur berlaku pada 20 Jun lalu sehingga menjejaskan perkhidmatan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, serta pendaftaran pelajar di sekolah negeri di Serang, Banten, dan Dumai, Riau.
Sebelum ini, penggodam dikatakan menggunakan perisian Lockbit 3.0 untuk melakukan serangan siber kepada PDN.
Selain itu, penggodam turut meminta wang tebusan sebanyak $8 juta (RM37.8 juta) sekiranya mahu mendapatkan semula akses PDN.
Serangan tersebut adalah yang terbaru dalam siri serangan siber yang terjadi kepada syarikat dan agensi kerajaan Indonesia sejak beberapa tahun lalu.
Ia juga disifatkan sebagai serangan ‘paling teruk’ pernah berlaku, menyebabkan gangguan perkhidmatan kerajaan awam Indonesia tidak boleh diakses beberapa hari.
Pada 2023, Bank Syariah Indonesia (BSI) turut menerima nasib yang sama dengan 15 juta data pelanggan dilaporkan bocor.
Seterusnya pada 2022, Bank Pusat Indonesia dilapor telah digodam namun serangan tersebut tidak menjejaskan perkhidmatan mereka. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!