Gara-gara lupa tutup api dapur, rumah hangus
PASIR MAS - Gara-gara terlupa mematikan api dapur semasa sedang memasak, sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Chandan, Chetok dekat sini pada Selasa.
Kejadian jam 11 pagi itu berlaku semasa mangsa Tuan Normala Tuan Mat, 38, membawa anaknya berusia tiga dan 11 tahun ke Klinik Sungai Keladi yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka untuk mendapatkan rawatan.
"Saya keluar dari rumah pada jam 10 pagi dan terlupa untuk mematikan api dapur. Ketika itu saya sedang memasak air gula.
"Sejam kemudian, kira-kira jam 11 pagi saya terima panggilan telefon daripada ibu saudara yang memaklumkan rumah terbakar dan api berpunca daripada bahagian dapur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, tanpa berlengah dia terus membuat panggilan telefon kepada pihak bomba dan apabila tiba di rumah dia melihat api sedang marak.
"Saya hanya sempat selamatkan tilam dan kipas dengan bantuan orang kampung manakala yang lain hangus," ujarnya.
Dia yang juga suri rumah sepenuh masa memberitahu, kediaman yang didiami sejak sembilan tahun lalu itu merupakan tempatnya berteduh bersama suami dan tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun serta ibunya yang berusia 69 tahun.
"Mujurlah semasa kejadian ibu saya tidak ada di rumah kerana ke rumah ibu saudara manakala suami keluar bekerja.
"Sehingga sekarang saya masih terkejut dengan kejadian ini kerana hanya dengan sekelip mata semuanya musnah," katanya.
Tuan Normala berkata, buat sementara waktu mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara mara berhampiran.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB 7051900337.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II, Azlan Mat Ripin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 pagi
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian, rumah terbabit sudah hangus 80 peratus manakala api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12:25 tengah hari.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!