Raja Muda Selangor berkayuh sempena Kayuhan Kapsul 25 Tahun UiTM
SHAH ALAM - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berkayuh dari Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam hingga ke UiTM Shah Alam sempena Majlis Penutupan Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan (Semenanjung) di sini pada Selasa.
Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin @ Sahib Sahibuddin berkata, program kayuhan berkenaan diadakan bersempena sambutan 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti ulung di negara ini.
Ujarnya, Tengku Amir Shah diiringi 12 warga UiTM yang mengambil bahagian dalam kayuhan dengan jarak keseluruhan 2,000 kilometer mengelilingi Semenanjung membabitkan staf akademik dan pentadbiran serta empat penuntut.
"12 peserta Kayuhan Kapsul 25 Tahun ini mula berkayuh bersama Raja Muda Selangor dari UiTM Puncak Alam. Mereka (sebelum itu) berkayuh sejak 20 Jun merentasi UiTM kampus cawangan setiap negeri di Semenanjung Malaysia.
"Kampus cawangan UiTM disinggahi membabitkan Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Alor Gajah (Melaka), Segamat (Johor), Jengka (Pahang), Dungun (Terengganu), Machang (Kelantan), Arau (Perlis), Sungai Petani (Kedah), Permatang Pauh (Pulau Pinang), Seri Iskandar (Perak) seterusnya Puncak Alam dan berakhir di UiTM Shah Alam," ujarnya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan (Semenanjung) di UiTM Shah Alam yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Dr Raduan Che Rose, di sini pada Selasa.
Sharin mengulas lanjut berkata, lebih istimewa, Pengarah Kanan UiTM kampus cawangan Permatang Pauh, Norlizan Wahid, srikandi wanita tunggal yang menunjukkan semangat juang dan ketabahan yang luar biasa mewakili wanita UiTM dalam misi tersebut.
Jelas Sharin lagi, simbolik Kayuhan Kapsul 25 Tahun berkenaan adalah membawa kapsul mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM.
"Kapsul ini akan disimpan di monumen yang bakal dibina dan dilancarkan sempena sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024.
"Monumen ini akan menjadi tanda peringatan kepada generasi akan datang, mengabadikan aspirasi dan impian seluruh warga UiTM," ujarnya.
Beliau menambah, kayuhan itu turut berkolaborasi dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli bersama Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!