Tak adil kata kerajaan ‘kawal’ TikTok - Nie Ching

Nie Ching ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Nie Ching ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa bukan semua permohonan penurunan kandungan kepada TikTok dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ataupun kerajaan kerana pengguna juga boleh berbuat demikian.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, adalah tidak adil jika menganggap semua kandungan yang diturunkan adalah berkaitan kritikan terhadap kerajaan.

Ia susulan Laporan Permintaan Pengalihan Keluar oleh kerajaan yang diterbitkan penyedia platform TikTok pada 6 Jun lalu.

“Memang dalam laporan ini menyatakan bahawa TikTok telah menerima permintaan daripada kerajaan Malaysia sebanyak 1,862. Dalam pada itu, laporan ini juga menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan kandungan yang diterima untuk diturunkan 6,231.

“Ini bermakna bukan semua permohonan penurunan kandungan dibuat MCMC ataupun kerajaan Malaysia. Ini kerana pengguna juga boleh memohon penurunan kandungan kepada TikTok.

“Laporan ini juga menunjukkan bahawa 2,514 kandungan telah diturunkan kerana melanggar garis panduan komuniti manakala 2,970 telah diambil tindakan atas sebab melanggar undang-undang tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan Tahun 2022.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, 747 kandungan tidak diambil tindakan oleh platform TikTok.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ini menunjukkan jika platform tersebut tidak merasakan bahawa sesuatu kandungan itu melanggar antara dua undang-undang atau garis panduan di atas, mereka tidak akan menurunkan kandungan yang diminta.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa ia tidak adil jika menganggap semua kandungan yang diturunkan adalah berkaitan kritikan terhadap kerajaan kerana kita perlu faham bahawa sejak 2019 sehingga 2023 penipuan dalam talian meningkat sebanyak 95.2 peratus.

“Pada masa yang sama, judi dalam talian meningkat 273 peratus (2019 sehingga 2022). Malah, ahli-ahli Parlimen banyak membangkitkan isu lucah seperti Ahli Parlimen Beaufort dan Ahli Parlimen Kuala Krai yang membangkitkan isu mengenai pelacuran dalam talian.

“Jadi, apabila Kementerian Komunikasi melalui MCMC mengambil tindakan proaktif dengan menghantar laporan kepada penyedia platform, tuduhan-tuduhan juga datang dari ahli-ahli Parlimen sebelah sana bahawa ini cubaan kerajaan mahu memperketat kebebasan media sedangkan kita semua perlu memahami bahawa isu ini dihadapi bukan sahaja di Malaysia hari ini tapi dalam kerajaan-kerajaan lain juga,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!