Remaja 14 tahun tikam penuntut universiti
SYDNEY - Pihak berkuasa Australia pada Selasa menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun selepas dia melancarkan serangan bersenjatakan pisau dapur di sebuah kampus universiti hingga memaksa perintah sekatan pergerakan dilaksanakan.
Polis memaklumkan suspek turut memakai pakaian seragam tentera ketika dia menikam leher seorang penuntut University of Sydney.
“Motif atau pengaruh mana-mana ideologi masih belum dapat dipastikan buat masa ini. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis New South Wales (NSW), Mark Walton.
Menurutnya, penyiasat sedang meneliti sama ada remaja itu terjebak doktrin ekstremis.
Suspek berkenaan ditahan ketika mahu mendapatkan rawatan di sebuah hospital untuk merawat luka pada tangannya.
Pihak berkuasa mengesahkan dia telah dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Pada April lalu, Australia pernah digemparkan dengan insiden serangan bersenjatakan pisau di sebuah pusat beli-belah dan disusuli dengan kejadian seorang biskop ditikam ketika upacara keagamaan yang disiarkan secara langsung di barat Sydney. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!