Pindaan PDPA 2010 dibentang minggu terakhir sidang Parlimen
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) Akta 709 dijangka dibentangkan pada minggu terakhir sesi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya akan memperincikan bacaan draf dan kerangka pindaan semasa persidangan pada Rabu.
Menurut beliau, Akta Omnibus berkenaan perkongsian data juga bakal digubal menjelang hujung tahun ini, namun ia masih di peringkat perbincangan.
“Perkara ini (pindaan PDPA) amat penting kerana kita mahu pastikan ada mekanisme yang membenarkan orang ramai berkongsi data serta mendapat manfaat daripadanya.
“Tetapi, kita nak segala peraturan perkongsian data tersedia dengan tahap keselamatan terbaik yang menjadi sebab kenapa perlu pinda PDPA.
“Buat masa sekarang, kita sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan mengenai perkara ini dan saya harap boleh dikembangkan kepada sektor lain juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian pembukaan The Space oleh syarikat penyedia perkhidmatan digital, MACROKIOSK Malaysia di Menara 1 Plaza Conlay, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengasas Bersama MACROKIOSK iaitu Datuk Kenny Goh, Datuk Henry Goh dan CS Goh serta CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat tujuh garis panduan yang akan diletakkan di bawah pindaan PDPA 2010 Akta 709 merangkumi Pemberitahuan Garis Panduan Pelanggaran Data dan Garis Panduan Pegawai Perlindungan Data.
Selain itu, Garis Panduan Data Mudah Alih, Mekanisme Pemindahan Data Rentas Sempadan, Penilaian Kesan Perlindungan Data, Privasi Mengikut Reka Bentuk dan Pembuatan Keputusan Automatik.
Garis panduan terbabit dibangunkan oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menerusi Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) dan syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MoF) iaitu Futurise Sdn Bhd.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!