PLUS, Petronas Dagangan bina stesen hibrid komersial pertama di Malaysia

Nik Airina (depan, kiri) dan Azrul Osman (depan, kanan) ketika bertukar dokumen MOU untuk menjalin Kerjasama membangunkan Stesen Super Hibrid pertama di lebuh raya.
Nik Airina (depan, kiri) dan Azrul Osman (depan, kanan) ketika bertukar dokumen MOU untuk menjalin Kerjasama membangunkan Stesen Super Hibrid pertama di lebuh raya.
A
A
A

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas Dagangan Berhad bagi menjalinkan kerjasama membangunkan stesen hibrid komersial yang pertama di lebuh raya Malaysia.

Pembukaan Stesen Super Hibrid itu akan menjadi penanda aras perkhidmatan lebuh raya di negara dan memberikan lebih keselesaan serta pilihan kepada pengguna.

Menurut PLUS dan Petronas Dagangan Berhad, stesen super hibrid yang bakal diwujudkan di lebuh raya itu menyediakan perkhidmatan mobiliti menyeluruh seperti stesen petrol dan diesel berskala besar termasuklah stesen pengecasan pantas (DCFC) untuk pengguna kenderaan elektrik (EV).

Katanya, ia turut menyediakan kemudahan-kemudahan awam yang lebih selesa, perkhidmatan runcit serta ruang makanan seperti gerai makan, kafe, restoran dan sebagainya.

"Pembangunan stesen hibrid ini juga memberi penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan efisien tenaga hingga ke penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

"Sebagai salah satu mercu tanda terbaharu di lebuh raya, stesen hibrid ini bakal menjadi destinasi tersendiri dan menawarkan pengalaman perjalanan lebih baik," jelasnya dalam kenyataan bersama hari ini.

Majlis menandatangani memorandum itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Haji Ahmad.

Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha KKR Malaysia, Datuk Zahrul Hakim Abdullah; Pengerusi PLUS, Datuk Mohamed Nasir Ab Latif; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah dan Pengarah Pemantauan Operasi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohd Shahrir Amin Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar memberitahu, sebagai pengendali lebuh raya utama di Malaysia dan rakan strategik negara pihaknya komited untuk menghubungkan komuniti bagi mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari.

Jelasnya, pembangunan Stesen Super Hibrid itu akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara.

"Selain itu, penyediaan stesen hibrid ini juga dapat memperluaskan kemudahan perkhidmatan mobiliti kami bagi menambah baik pengalaman pengguna lebuh raya di samping memberi peluang kepada mereka untuk menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan.

"Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber kedua-dua pihak, ia boleh membantu untuk meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan kepada pengguna lebuh raya dengan lebih efisien," ujarnya.

Mengulas tentang kerjasama itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, pihaknya sentiasa meneroka peluang untuk menambah baik pengalaman pelanggan selari dengan komitmen syarikat menjadikan kehidupan lebih mudah dan bermanfaat.

Tambah beliau, kolaborasi antara Petronas Dagangan dan PLUS diyakini akan meningkatkan keselesaan, kemudahan dan inovasi berfokuskan pelanggan yang akan mengubah pengalaman pelanggan di lebuh raya.”

"Lembah Klang telah dikenalpasti sebagai lokasi perintis untuk pembangunan fasiliti hibrid ini. Dengan keluasan lebih daripada 30,000 kaki persegi, ia mensasarkan pembangunan untuk menyediakan fasiliti yang lengkap dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

"Kejayaan projek ini berpotensi membuka ruang untuk pengembangan perkhidmatan lebih meluas di seluruh negara.

"Secara keseluruhan, fasiliti stesen hibrid baru ini bakal memberi nafas baharu kepada konsep stesen minyak, mengintegrasikan perkhidmatan bahan api yang menyeluruh termasuk EV, kemudahan awam yang selesa, pilihan runcit serta makanan dan minuman lebih meluas, serta pendekatan amalan lestari lebih hijau,'' katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!