Dewan Rakyat kecoh isu projek lombong emas syarikat Kelantan

Sidang Dewan Rakyat pada Selasa kecoh gara-gara isu projek melombong emas yang didakwa dibangunkan oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Kelantan.
Sidang Dewan Rakyat pada Selasa kecoh gara-gara isu projek melombong emas yang didakwa dibangunkan oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Kelantan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi perbahasan usul di Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membangkitkan laporan media berkaitan projek melombong emas yang didakwa dibangunkan oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Kelantan.

Tindakan tersebut menyebabkan beberapa ahli Parlimen blok pembangkang bangun mempersoalkan hubungan kait antara isu projek berkenaan dengan usul Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) yang sedang dibahaskan ketika itu.

Mereka yang terlibat ialah Datuk Awang Hashim(PN-Pendang), Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) dan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh).

Bagi mendapatkan kepastian, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong meminta supaya Rayer memberi penjelasan mengenai kaitan isu yang dibangkitkannya itu.

Rayer berkata, melalui pindaan akta tersebut, ia dapat memberi kuasa kepada ketua audit negara untuk mengaudit syarikat yang didakwa terlibat dalam isu projek melombong emas itu.

“Timbalan Speaker, saya ingin bertanya dan menyatakan bahawa ketua audit negara dengan pindaan akta undang-undang ini akan dapat mengaudit syarikat tersebut kerana syarikat itu juga terlibat dalam aktiviti melombong emas.

“Kita ingin tahu adakah perkara ini melibatkan dana rakyat?,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Khlir kemudiannya mencelah penjelasan Rayer dengan mendakwa kenyataan yang dikeluarkan itu seolah-olah menghina negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Kau hina Kelantan, selalu menghina Kelantan,” ujarnya.

Tidak lama kemudian, Awang juga turut menyatakan bahawa syarikat berkenaan belum lagi dibolehkan untuk diaudit oleh ketua audit negara.

“Ia syarikat belum lagi boleh diaudit oleh audit negara tetapi yang kami keluarkan ini projek kerajaan yang memang audit negara kena audit. Yang disebut oleh Jelutong tadi tidak ada kaitan,” menurutnya.

Kekecohan yang berlaku itu berlarutan lebih 15 minit itu hingga menyebabkan Timbalan Speaker mengambil keputusan untuk menangguhkan persidangan Dewan Rakyat pada esok.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!