IPPT terima pengiktirafan antarabangsa

Zambry (kanan) menurunkan tandatangan merasmikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy pada Selasa.
Zambry (kanan) menurunkan tandatangan merasmikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy pada Selasa.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kecemerlangan Pusat Perubatan USM Bertam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat perhatian dunia apabila BrachyAcademy, yang berpangkalan di Belanda mengisytiharkan IPPT sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy meletakkan Malaysia di peringkat dunia yang boleh dijadikan sebagai pusat rujukan.

Menurutnya, pusat perubatan yang ditubuhkan sejak 2002 kini telah berkembang kepada sebuah pusat perubatan yang menawarkan perkhidmatan onkologi, radioterapi dan brakiterapi untuk merawat kanser terutamanya untuk kanser kepala dan leher, hati, esofagus dan sarcoma.

"IPPT merupakan satu-satunya pusat brakiterapi yang merawat kanser lidah dalam jumlah yang tinggi menggunakan teknik HyBIRT dan menjadi perintis kepada teknik ini di seluruh dunia.

"USM telah mencapai satu kejayaan yang membanggakan kita semua dan saya akan membawa kejayaan ini ke pengetahuan Perdana Menteri Malaysia, bagi merencanakan perkembangan pusat ini supaya ia bukan sahaja dapat menjadi pusat rujukan bagi rawatan kanser di wilayah utara, malah untuk dikembangkan ke peringkat seluruh negara dan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, penubuhan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Brachyacademy bermula sejak 2015 dan telah merawat lebih 500 pelbagai jenis kes kanser.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha naik taraf IPPT ke Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser, di mana IPPT telah menyediakan pelbagai perkhidmatan perubatan pakar yang dapat menyokong perkhidmatan perawatan kanser menerusi penggunaan kaedah radioterapi, brakiterapi, perubatan nuklear dan lain-lain.

“Pada September 2022, IPPT telah menjenamakan semula kompleks penyelidikan klinikal sebagai Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) yang menumpukan kepada perawatan kanser, termasuk rehabilitasi robotik dan pergigian sebagai rawatan sokongan dan pemulihan.

“Usaha ini dibuat selaras dengan bidang tujahan USM yang telah dikenal pasti bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dalam bidang kanser/onkologi, sehingga tahun 2023, kira-kira 16,642 orang pesakit kanser dirawat di IPPT,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, USM turut menjadi perintis teknik rawatan HyBIRT yang telah menyembuhkan lebih 50 pesakit kanser lidah tanpa perlu dilakukan pemotongan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!