Aisyah Hijanah nafi terlibat skim derma 'JomDonate'

Aisyah Hijanah
Aisyah Hijanah
A
A
A

PERSONALITI media sosial Aisyah Hijanah menafikan sebarang penglibatan beliau mengenai skim 20 peratus yang diterima bagi keseluruhan kutipan derma oleh platform 'JomDonate'.

Menurut kenyataan firma guaman Rahim, Aidil & Partners yang mewakili Aisyah Hijanah atau Aisyah Hijanah Azhari, sebagai tambahan, skim tersebut (yang mana dinafikan) hanya diperkenalkan setelah anakguam mereka tidak lagi menggunakan platform JomDonate sejak tahun 2022.

Katanya, sebarang penggunaan imej, gambar atau testimoni anakguam dibuat setelah tidak lagi menggunakan platform tersebut.

"Oleh itu, sebarang penggunaan imej, gambar atau testimoni anakguam kami adalah tanpa sebarang kebenaran dan persetujuan mereka.

"Selanjutnya atas arahan anakguam, kami dengan tegas menafikan sebarang penyelewengan, penipuan atau pecah amanah jenayah yang didakwa datangnya dari aktiviti kutipan derma Madrasah.

"Anakguam kami juga menegaskan bahawa kempen kutipan derma Madrasah tersebut hanya tamat pada 14 Jun 2024 dan segala hasilnya telah pun diserahkan kembali. Wakil pihak Madrasah juga telah memohon maaf kepada anakguam kami serta percaya isu tersebut tidak harus dipanjangkan lagi," ujarnya pada Selasa.

Sebelum ini tular di media sosial apabila sebuah akaun Facebook mendakwa Aisyah Hijanah membuat kutipan derma untuk tujuan peribadi.

Turut dipersoalkan kemewahan yang dimiliki Aisyah Hijanah dan mendedahkan tindakan personaliti itu hanya diketahui oleh bekas pekerjanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, atas arahan anakguam, firma tersebut menegaskan segala aset-aset yang diperolehi Aisyah Hijanah adalah atas daya usaha sendiri tanpa menyalahgunakan mana-mana dana mahupun kutipan derma.

"Anakguam kami juga seperti sedia maklum menjalankan pelbagai perniagaan yang menjana keuntungan dan sepertimana orang lain, mereka juga berhak untuk menikmati hasil keuntungan perniagaan tersebut untuk tujuan peribadi," katanya.

Dalam masa sama, sebarang akaun Facebook atas nama 'Aisyah Hijanah Official' turut dinafikan.

Jelasnya, tindakan pihak yang telah menyalahgunakan nama dan identiti anakguamnya telah membawa kepada kesulitan, kesengsaraan emosi serta kerugian tidak boleh dipampaskan.

"Pihak kami juga mempunyai arahan untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang telah menyalahgunakan nama dan identiti anakguam kami.

"Adalah ditegaskan bahawa anakguam kami tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk membuat kenyataan bagi pihak beliau," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!