Kapal korek pasir dari China tiada dokumen, miliki gas LPG


Sebuah kapal korek pasir yang didaftarkan dari China ditahan selepas berlabuh di perairan Tanjung Hantu, Segari pada Isnin. Foto ihsan Maritim Malaysia
Sebuah kapal korek pasir yang didaftarkan dari China ditahan selepas berlabuh di perairan Tanjung Hantu, Segari pada Isnin. Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah kapal korek pasir yang bersauh di kedudukan 14.8 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Segari di sini pada Isnin.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pemeriksaan kapal korek pasir Chuan Hong 68 yang didaftarkan di Fuzhou, China itu dikesan bersauh oleh pasukan operasi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut beliau, kapal berkenaan dikendalikan seorang nakhoda dibantu 20 kru warga China, 26 kru warga Bangladesh serta seorang kru warga Malaysia yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 68 tahun.

Pemeriksaan kapal korek pasir dari China menemukan barang kawalan gas LPG tanpa dokumen daripada KPDN. Foto ihsan Maritim Malaysia
Pemeriksaan kapal korek pasir dari China menemukan barang kawalan gas LPG tanpa dokumen daripada KPDN. Foto ihsan Maritim Malaysia

"Hasil maklumat tersebut, anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi di perairan negeri Perak telah diatur gerak ke lokasi berkenaan bagi memeriksa kapal tersebut.

"Pemeriksaan mendapati kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen asal kapal, 'port clearance' dan terdapat seorang kru tidak mempunyai nama dalam senarai nama kru kapal," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mohamad Shukri berkata, pemeriksaan lanjut juga menemukan 60 tong gas petroleum cecair (LPG) dianggarkan bernilai RM9,000.

"Barang kawalan itu tidak memiliki dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Artikel Berkaitan:


Maritim Malaysia bersama TLDM menjalankan pemeriksaan sebuah kapal korek pasir dari China yang bersauh di perairan Tanjung Hantu. Foto ihsan Maritim Malaysia
Maritim Malaysia bersama TLDM menjalankan pemeriksaan sebuah kapal korek pasir dari China yang bersauh di perairan Tanjung Hantu. Foto ihsan Maritim Malaysia

"Kesemua kru dan kapal ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Jelas beliau, komuniti maritim dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!