'Kerajaan akan tunaikan penempatan Matrikulasi, tak perlu risau'

Zambry Foto Bernama
Zambry Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Kerajaan pasti akan menunaikan jaminan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penempatan pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program matrikulasi atau program asasi universiti awam (UA).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk, Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau meminta pihak yang mempersoalkan pengumuman tersebut agar tidak risau, kerana kerajaan telah bersedia untuk selesaikannya dan bukan hanya andaian.

"Jadi apabila kita menyatakan bahawa kita akan memberikan tempat kepada pelajar yang mendapat 10A ke atas maka kita akan bagi tempat, jadi jangan tanya soal bagaimana (nak tunaikan) kerana yang paling mustahak ialah mereka akan diberikan tempat itu.

"Mungkin ada proses yang sebelum ini mereka tak ada dapat tempat dan kita akan proses kesemuanya berdasarkan kepada bilangan yang memperoleh keputusan cemerlang ...Jadi apabila kita menyatakan bahawa kita akan memberikan tempat, kita akan berikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan dan perasmian Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy di Bertam di sini hari ini.

Zambry mengulas berhubung kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan menimbulkan persoalan bagaimana program matrikulasi dapat menampung semua pelajar yang layak tanpa menjejaskan kuota Bumiputera.

Berhubung kuota Bumiputera, Zambry menegaskan ia telah dijelaskan oleh Perdana Menteri dan tidak timbul isu berhubung perkara itu, kerana ia tidak akan ‘mengorbankan’ kuota Bumiputera di negara ini.

Beliau berkata, semua pelajar mendapat 10A ke atas akan diterima dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan berusaha sepenuhnya, bagi memastikan mereka yang terdiri pelajar terbaik itu mendapat tempat di matrikulasi atau program asasi UA.

Artikel Berkaitan:

"Namun seperti yang kita tahu bahawa ada dalam kalangan pelajar itu akan mendapat tempat di matrikulasi dan juga asasi bagi peringkat universiti, jadi mereka akan dibahagi-bahagikan (di matrikulasi dan asasi),” katanya.

Ahad lepas, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah, akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, bermula tahun ini.

Perdana Menteri berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas itu, tidak akan mengganggu kuota pelajar bumiputera sedia ada.

Sebelum itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan bergerak secara agresif bersama KPT bagi menyelaraskan dengan segera, sekali gus memastikan penempatan semua pelajar cemerlang lepasan SPM dalam program matrikulasi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!