Benam Belgium B, semangat Speedy Tigers melonjak
SKUAD hoki negara membuka Siri Jelajah Eropah dengan langkah kanan setelah membenam pasukan ranking ketiga dunia, Belgium B 3-2 dalam perlawanan persahabatan di Sportcentrum Wilrijkse Plein - Antwerp, Belgium malam Isnin.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata, pemain berjaya memperagakan aksi cemerlang dan menunjukkan corak permainan yang cukup baik sekali gus meningkatkan moral pasukan untuk perlawanan kedua pada Rabu.
“Kami berpuas hati dengan keputusan ini apabila memulakan jelajah persahabatan ini dengan kemenangan. Kami mengambil peluang yang dimiliki biarpun Belgium mendominasi perlawanan,” katanya.
Di sebalik kemenangan itu, Sarjit melihat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya bagi memastikan setiap pemain kurang melakukan kesalahan mudah kerana ia pasti akan dihukum oleh pasukan lawan.
“Bagi aksi kedua apa yang perlu kami perbaiki lagi adalah mengurangkan kesilapan-kesilapan individu, selain pemain juga kena pantas serta bijak membuat keputusan dalam masa yang singkat.
“Malah tahap kesedaran pemain dalam permainan perlu lebih lagi,” katanya.
Speedy Tigers akan menentang Belgium dalam dua perlawanan lagi iaitu pada Rabu dan 5 Julai ini.
Malaysia juga akan mengharungi tujuh perlawanan apabila akan berdengan dengan pasukan di ranking pertama dunia, Belanda, pasukan di ranking kelima (Jerman) dan ketujuh dunia (India) dan Kelab Hoki Monchengladbach.
Enam aksi merupakan perlawanan persahabatan, manakala pertembungan dengan Jerman pada 9 Julai adalah ujian sebenar kerana ia akan memberikan mata ranking untuk Malaysia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!