Solidariti rakyat bersama Faisal Halim, pertahan titah Sultan Selangor

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Fauzi
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Fauzi
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Selangor bukan sahaja bersolidariti bersama Faisal Halim malah turut menyokong ketegasan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memberikan kritikan terbuka terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor, Dr Mohd Fauzi Fadzil berkata, pihaknya membidas tindakan pihak tertentu yang mengeluarkan penghinaan dan sindiran terhadap Sultan Selangor susulan kemurkaan baginda berhubung hukuman dikenakan kepada Selangor FC

Menurutnya, titah baginda seharusnya difahami dan ia bertujuan mempertahankan hak serta keadilan The Red Giant tanpa niat memalukan mana-mana individu.

"Kami seluruh rakyat Selangor mempertahankan tindakan Tuanku Sultan Selangor yang secara terbuka menunjukkan kemurkaan terhadap MFL yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, tiada ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin.

"Bagaimana mungkin keputusan The Red Giant yang mementingkan keselamatan ahli pasukannya dibalas dengan hukuman yang sangat zalim, The Red Giant telah kehilangan tiga mata awal kerana tidak menyertai Perlawanan Piala Sumbangsih.

"Adakah kehilangan tiga mata tersebut tidak cukup untuk menghukum The Red Giant?, " katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, pujian juga seharusnya diberikan kepada seluruh kepimpinan kerajaan Selangor yang telah menggerakkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC.

"Tabung tersebut telah berjaya mengutip melebihi jumlah denda RM 60, 000 yang dikenakan terhadap pasukan Selangor FC.

Artikel Berkaitan:

"Lebih mengharukan apabila tiga ADUN Selangor iaitu Datuk Rizam Ismail, Altimet dan Muhammad Izuan Ahmad Kasim mengumumkan sumbangan separuh gaji untuk membantu Selangor FC membiayai pembayaran denda dikenakan oleh MFL," katanya.

Katanya, insiden menimpa Selangor FC tidak melemahkan semangat juang The Red Giant, malah ia lebih memangkinkan semangat juang pasukan untuk menggondol Piala FA 2024/2025.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!