'Tabika Pra Tahfiz Kemas bukti Islam lebih kukuh bawah Kerajaan Perpaduan'

Ahmad Zahid bercakap ketika sidang media pada Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang pada Selasa. Foto Bernama
Ahmad Zahid bercakap ketika sidang media pada Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Program Tabika Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) adalah cerminan yang membuktikan agama Islam tidak terancam di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan malah ia lebih kukuh di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya agama Islam dan orang Melayu terancam di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, program tersebut merupakan pencetus perubahan dalam pendidikan Islam.

Beliau berkata, DAP sebagai parti komponen dalam gabungan politik itu tidak pernah menentang program berkenaan apabila ia dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Mereka sangat prihatin terhadap Perkara 3 dalam Perlembagaan iaitu kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 153 iaitu kedudukan hak istimewa Orang Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Pra Tahfiz Tabika Kemas Negeri Pulau Pinang di Dewan Perda-Tech, Bukit Panchor di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, program itu akan memberi penekanan terhadap ibadah lain termasuk solat kepada anak-anak Tabika Kemas.

"Di samping itu juga, kita tidak mengetepikan soal agama lain dan juga bangsa lain yang memasuki tabika atau tadika. Di Tadika Perpaduan umpamanya, pendidikan sivik dilaksanakan.

"Begitu juga mana-mana anak orang bukan Islam yang masuk ke Tadika Kemas, pendidikan yang begitu juga dibuat ketika pengajaran al-Quran dan solat dilakukan,” katanya.

Tabika Pra Tahfiz Kemas adalah program untuk memperkasakan Pendidikan al-Quran selain memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (Program Penghayatan Islam) di Tabika Kemas.

Artikel Berkaitan:

Ia merangkumi aspek Pendidikan al-Quran dalam melahirkan Huffaz Cilik yang menguasai hafazan al-Quran bagi surah-surah dalam juzuk amma dan surah pilihan (Juzuk 30) dengan Bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur.

Program itu turut menjadi antara Hala Tuju Strategik (HATS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Tahun 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan Pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!