Malaysia tidak mampu tolak pelaburan BlackRock - Pakar ekonomi
SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpendapat Malaysia tidak mampu menolak pelaburan BlackRock secara keseluruhannya kerana akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.
Pengarah Program MBA dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana mana-mana negara yang pernah berbuat demikian akan mengalami masalah ekonomi yang serius pada masa akan datang.
"Lagipun, banyak lagi sebenarnya syarikat pro-Israel yang sudah lama bertapak di Malaysia. Jadi tak kan kita mahu hipokrit apabila tuju kepada satu syarikat sahaja, kena lah pada semua.
"Jadi kalau tuju semua dari segi ekonominya akan memberi impak yang besar kerana kita membuat keputusan untuk tidak menerima sebahagian besar daripada pelaburan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 446 bertajuk 'Kenapa BlackRock? yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Turut hadir, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.
Tambah beliau, apabila mereka sudah lama bertapak sudah tentu ia memerlukan satu strategi pelaburan berkala yang tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur.
"Tidak ada impak negatif jika mereka keluar atas kerelaan sendiri, namun jika kita sendiri kata mulai hari ini pelabur yang ada kaitan dengan Israel semua keluar, itu akan beri impak negatif dari segi persepsi pelabur antarabangsa," ujarnya.
Menurut Ahmed Razman, tidak dinafikan isu seperti ini mudah dimainkan sentimen oleh mana-mana ahli politik kerana ia satu ruang untuk mereka menjadi relevan.
"Bagaimanapun, dari sudut ekonomi saya tidak lihat Malaysia mampu berbuat demikian dan dalam masa sama kita sebagai penyokong kepada kebebasan Palestin sudah tentu akan menyokong segala tindakan untuk membantu rakan Islam kita di sana.
"Pendekatan itu juga harus mengambil kira kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negara ini," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!