Kerajaan perlu tarik diri labur dalam GIP - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menarik diri daripada melabur dalam Global Infrastructure Partners (GIP) kerana tidak memberi sebarang kepentingan kepada Malaysia sama ada dari segi moral, ekonomi mahupun merit.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan itu juga merugikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kerana terpaksa berkongsi keuntungan daripada milik sepenuhnya kerajaan Malaysia kepada syarikat pro Zionis.

Menurutnya, dalam masa sama ia seolah-olah seperti bersubahat dengan Israel secara tidak langsung kerana bekerjasama dengan BlackRock dan GIP.

"Kerajaan perlu tarik diri dan saya beritahu Dewan rakyat untuk selamatkan maruah Perdana Menteri kita sebagai pejuang Palestin dengan menyuruh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) batalkan atau bagi alasan bahawa GIP tidak sesuai jadi rakan strategik dalam pemilikan saham MAHB.

"Kita tidak bantah tambah baik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau lapangan terbang yang lain. Kita hanya mempersoalkan kenapa kerajaan Malaysia menswastakan MAHB untuk ditawarkan 30 peratus kepada GIP dan BlackRock," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 446 bertajuk 'Kenapa BlackRock? yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Program MBA dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Tambah beliau, lagipun semua pihak tidak mengetahui syarat yang dirunding oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan GIP.

Artikel Berkaitan:

"Kita bukan nafi kerajaan miliki lapangan terbang atau MAHB tetapi persoalkan proses penjualan itu dibuat secara sulit yang mana rakyat tidak tahu butirannya.

"30 peratus itu dikatakan tidak beri kesan kepada MAHB walhal jumlah peratusan itu boleh mengawal 70 peratus kalau ada proksi, ini banyak berlaku dalam syarikat," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!