GIP tingkatkan kewangan, kualiti lapangan terbang negara

Azli
Azli
A
A
A

SHAH ALAM - Kehadiran Global Infrastructure Partners (GIP) dalam pegangan saham Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) akan membawa satu peningkatan dari segi kewangan dan kualiti lapangan terbang negara ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, ini kerana GIP sememangnya terkenal dan terbukti mampu membawa dana daripada pelabur luar.

Katanya, mereka juga ada pengalaman berjaya menukar lapangan terbang yang agak suram sebelum ini sehingga mampu berdaya saing.

"Saya percaya keupayaan yang ada pada GIP akan meningkatkan nilai dan pulangan kepada negara. Itu lah yang menjadi pertimbangan kerajaan untuk memilih GIP.

"Penjelasan Perdana Menteri bahawa lebih 100 pelabur tetapi setelah disenarai pendek hanya lima layak, daripada jumlah itu hanya GIP bersetuju dengan syarat yang dikenakan. Salah satunya pengerusi mesti daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 446 bertajuk 'Kenapa BlackRock? yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Program MBA dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Tambah beliau, syarat yang dikenakan itu adalah cara kerajaan melindungi MAHB.

Artikel Berkaitan:

"Itu syarat ditentukan kerajaan sebab mahu lindungi kita di Malaysia.

"Kebiasaannya mereka yang sudah berjaya dalam pengurusan lapangan terbang ini mahu pelabur terlibat dalam satu-satu konsortium mereka, sudah tentu inginkan penguasaan majoriti pemegang saham atau tentukan pentabiran dan pengurusan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!