Tiada kemudahan punca orang kurang jalan kaki
SHAH ALAM - Pembangunan bandar kurang terancang merupakan faktor utama rakyat Malaysia kurang berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat yang lain, kata jurulatih kecergasan, Kevin Zahari.
“Contohnya, tiga tahun lalu saya pernah duduk dalam kereta bersama seorang menteri dan meronda di sekeliling Putrajaya.
“Saya beritahu menteri tersebut bahawa tidak kelihatan orang berjalan kerana tiada benda menarik untuk mereka berbuat demikian, panas terik serta tiada kedai.
“Saya tinggal di Mount Kiara, hendak berjalan kaki pun susah. Jalan dengan garisan pejalan kaki ada tetapi tiba-tiba putus, tempat berbasikal pun tak ada. Ia perlukan ruang untuk diperbaiki,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan melaporkan pada tahun lalu sebanyak 84 peratus dalam kalangan dewasa di negara ini tidak aktif bersenam dan tidak gemar memilih untuk berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat lain.
Tambah Kevin, berbeza di Singapura dan Bangkok, Thailand, kemudahan yang disediakan sangat baik serta mudah untuk individu berjalan kaki ke sesuatu tempat.
Tambahnya, isu golongan dewasa kurang aktif dan cergas dalam sukan sebenarnya bukan perkara baharu di negara ini.
“Kebanyakan pembangunan sukan dikhususkan bagi pertandingan dalam kumpulan kanak-kanak sahaja. Pertandingan kategori dewasa ada tapi hanya untuk mereka yang betul-betul mahir.
“Berbeza dengan tempat kelahiran saya di Jerman, terdapat pelbagai liga sukan yang boleh diceburi golongan dewasa dan warga emas sepanjang tahun.
“Mereka bersukan sambil menikmati aktiviti itu, tidak perlu menunggu hari atau bulan sukan negara dan sebagainya,” katanya.
Jelas beliau, dengan keadaan ekonomi negara sekarang mungkin ramai orang mengalami tekanan kewangan.
Menurut Kevin, ramai memanfaatkan waktu lapang bagi menambah pendapatan seperti menjadi pemandu e-hailing, menjual kuih dan sebagainya.
“Mereka terpaksa mencuri masa yang sepatutnya dikhususkan untuk bersenam tetapi digunakan bagi menambah pendapatan demi kelangsungan hidup,” ujar beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!